Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hakim Besar India dibebaskan daripada dakwaan salah laku seksual

Berpuluh-puluh penunjuk perasaan berhimpun di luar Mahkamah Agung India pada Selasa (7 Mei), sehari selepas sebuah panel hakim menolak aduan mengenai gangguan seksual oleh Hakim Besar India.

Anggaran Waktu Membaca:
Hakim Besar India dibebaskan daripada dakwaan salah laku seksual

Gambar fail.

Diterbitkan : 07 May 2019 09:38PM Dikemas Kini : 07 May 2019 09:47PM

NEW DELHI: Berpuluh-puluh penunjuk perasaan berhimpun di luar Mahkamah Agung India pada Selasa (7 Mei), sehari selepas sebuah panel hakim menolak aduan mengenai gangguan seksual oleh Hakim Besar India. Para penunjuk perasaan tersebut membawa sepanduk-sepanduk yang menggesa agar siasatan baru dan adil dijalankan.

Seorang bekas pegawai pembantu di mahkamah mendakwa, Hakim Besar Ranjan Gogoi membuat lamaran seksual terhadapnya tahun lalu, dalam kes berprofil tinggi di tengah-tengah siri dakwaan salah laku seksual menyusuli gerakan #metoo yang melanda negara itu.

Hakim Besar Gogoi menafikan dakwaan-dakwaan itu dan sebuah panel hakim dalaman juga menyangkal sebarang dakwaan salah laku terhadapnya, menurut kenyataan mahkamah pada Isnin (6 Mei).

Namun, penunjuk-penunjuk perasaan berhimpun di sebuah jalan di ibu kota India untuk melahirkan rasa tidak berpuas hati mereka dengan keputusan itu.

Kawalan keselamatan dipertingkat di pekarangan mahkamah berkenaan, dengan berpuluh-puluh polis separa tentera dan trak-trak mengangkut meriam air untuk digunakan di kawasan itu.

Polis secara tangkas menyuraikan para penunjuk perasaan tersebut dan kebanyakan daripada mereka dibawa menaiki van-van polis sejurus selepas mereka berhimpun.

Polis di tapak insiden menyatakan, tunjuk-tunjuk perasaan di Mahkamah Agung adalah dilarang.

Menurut aduan yang difailkan di mahkamah bulan lalu, wanita berusia 35 tahun itu mendakwa Hakim Gogoi mengganggunya secara seksual ketika beliau sedang bekerja di sebuah pejabat di rumah Encik Gogoi sambil berkata, beliau dan keluarganya ditindas setelah beliau enggan memenuhi kehendak Hakim Gogoi.

Hakim Gogoi menyifatkan dakwaan-dakwaan terhadapnya sebagai sebahagian daripada komplot lebih luas untuk menghina badan kehakiman India, tanpa mengulas dengan lebih lanjut.

Wanita tersebut berkata, hasil dapatan panel hakim tersebut tidak didedahkan kepadanya, dan beliau berasa mereka berlaku tidak adil terhadapnya dengan menambah, beliau berada dalam ketakutan.
Dalam satu kenyataan pada Selasa (7 Mei), sekumpulan 350 aktivis hak wanita dan masyarakat sivil menggesa agar siasatan baru dijalankan terhadap dakwaan-dakwaan tersebut.

Sumber : Reuters/ZM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan