Skip to main content

Dunia

Hakim Amerika perintah aktivis pro-Palestin Khalil dibebaskan

Anggaran Waktu Membaca:
Hakim Amerika perintah aktivis pro-Palestin Khalil dibebaskan

Mahmoud Khalil dilihat dalam kalangan penunjuk perasaan pro-Palestin di kampus Universiti Columbia di New York pada 29 Apr 2024. (Gambar: AP/Ted Shaffrey)

Diterbitkan : 21 Jun 2025 12:29PM Dikemas Kini : 21 Jun 2025 12:30PM
NEW YORK: Seorang hakim Amerika Syarikat memerintahkan pada Jumaat (20 Jun) supaya graduan Universiti Columbia Mahmoud Khalil dibebaskan daripada tahanan imigresen, sekali gus menandakan kemenangan besar bagi kumpulan hak asasi manusia yang mencabar apa yang mereka sifatkan sebagai tindakan pentadbiran Trump terhadap seorang aktivis pro-Palestin yang tidak berasaskan undang-undang.

Khalil, salah satu orang kuat dalam bantahan pro-Palestin terhadap perang Israel ke atas Gaza, ditangkap oleh ejen imigresen di lobi asrama universitinya di Manhattan pada 8 Mac.

Presiden Donald Trump menyifatkan tunjuk perasaan itu sebagai anti-Yahudi lalu berikrar untuk mengusir mahasiswa asing yang terlibat dalam bantahan berkenaan.

Khalil mengutuk sikap anti-Yahudi dan perkauman dalam wawancara bersama CNN dan saluran-saluran berita lain tahun lalu.

Sebagai penduduk tetap yang sah di Amerika Syarikat, Khalil berkata beliau sedang dihukum atas ucapan politiknya yang melanggar Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika Syarikat.

Hakim Daerah Amerika Syarikat Michael Farbiarz dari Newark, New Jersey, memutuskan pada 11 Jun bahawa pentadbiran negara melanggar hak kebebasan bersuara Khalil dengan menahannya di bawah undang-undang yang jarang sekali digunakan.

Ini memberikan kuasa kepada setiausaha negara untuk memohon pengusiran penduduk bukan warganegara, di mana kehadiran mereka di negara itu dianggap bertentangan dengan kepentingan dasar luar Amerika.

Bagaimanapun, hakim pada 13 Jun menolak perintah untuk bebaskan Khalil dari pusat tahanan di Jena, Louisiana, selepas pentadbiran Presiden Trump berkata Khalil ditahan atas tuduhan berasingan, di mana beliau menyembunyikan maklumat semasa memohon untuk pas penduduk tetap yang sah.

Peguam Khalil menafikan dakwaan itu sambil berkata jarang sekali seseorang ditahan atas tuduhan sedemikian.

Pada 16 Jun, mereka menggesa Encik Farbiarz supaya meluluskan permintaan berasingan daripada anak guam mereka untuk dibebaskan dengan ikat jamin, atau dipindahkan ke tahanan imigresen di New Jersey, untuk berada lebih dekat dengan keluarganya di New York.

Khalil, 30 tahun, menjadi penduduk tetap Amerika Syarikat tahun lalu, dan isteri serta anak lelakinya yang baru lahir ialah rakyat Amerika Syarikat.

Peguam pentadbiran Trump menulis dalam surat kepada mahkamah pada 17 Jun bahawa permintaan Khalil untuk dibebaskan harus ditujukan kepada hakim yang mengawasi kes imigresennya, satu proses tadbir urus tentang sama ada beliau boleh diekstradisi, dan bukannya kepada Encik Farbiarz.

Encik Farbiarza juga sedang menimbangkan sama ada penahanan Khalil pada 8 Mac dan penahanan berikutnya dibuat mengikut undang-undang.
Sumber : Reuters/AYay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita