Skip to main content

Dunia

Hakim Amerika arah hentikan iklan politik Trump yang dibiayai wang pembayar cukai

Seorang hakim Amerika Syarikat pada Ahad (11 Okt) mengarahkan pentadbiran Presiden Donald Trump menghentikan penggunaan wang pembayar cukai untuk membiayai iklan politik yang menampilkan beliau.

Anggaran Waktu Membaca:
Hakim Amerika arah hentikan iklan politik Trump yang dibiayai wang pembayar cukai

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berjalan dari helikopter Marine One menuju ke Rumah Putih di Washington pada 10 Oktober 2026. (Gambar: REUTERS/Elizabeth Frantz)

Diterbitkan : 12 Oct 2026 10:29AM
US Judge orders halt to Trump's political ads funded by taxpayers' money
  • Judge Jennifer Rochon ordered the Trump administration to stop using taxpayers' money for television advertisements praising President Donald Trump.
  • The temporary order in Manhattan followed a lawsuit by Common Cause, a public workers' union and an Alabama candidate, which described the advertisements as political propaganda.
  • The advertisements, which began in late September, drew bipartisan objections ahead of the Nov 3 elections, although Trump described them as positive promotion for the United States.
  • The White House said MAGA PAC would bear future costs, but the public funds already used would not be reimbursed.
Dijana oleh AI
WASHINGTON: Seorang hakim Amerika Syarikat pada Ahad (11 Okt) mengarahkan pentadbiran Presiden Donald Trump menghentikan penggunaan wang pembayar cukai untuk membiayai iklan politik yang menampilkan beliau.

Keputusan itu dibuat selepas iklan televisyen yang memuji Encik Trump dan dibiayai dana awam mula disiarkan pada penghujung September, sekali gus mencetuskan bantahan daripada kedua-dua parti politik utama negara itu.

Hakim Mahkamah Daerah Amerika Syarikat di Manhattan, Jennifer Rochon, mengeluarkan perintah sementara bagi menghentikan iklan tersebut, menyusuli saman yang difailkan beberapa pihak, termasuk kumpulan pemantau Common Cause.

Pihak yang memfailkan saman mendakwa iklan itu merupakan propaganda politik yang bertujuan membantu calon Parti Republican dalam pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November, bukannya pengumuman khidmat awam.

Bagaimanapun, menurut kenyataan berasingan yang dikemukakan kepada mahkamah pada Sabtu (10 Okt), pentadbiran Encik Trump sudah merancang untuk menghentikan penyiaran iklan tersebut sebelum perintah hakim dikeluarkan.

IKLAN CETUS BANTAHAN KEDUA-DUA PARTI

Keputusan mahkamah itu menyusuli kontroversi selama beberapa hari berhubung penggunaan dana pembayar cukai bagi menyiarkan iklan tersebut menjelang pilihan raya pertengahan penggal.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Common Cause, Virginia Kase Solomón, berkata pihaknya akan terus menuntut supaya pentadbiran Encik Trump dipertanggungjawabkan.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada presiden, tanpa mengira parti politik, seharusnya menyalahgunakan wang pembayar cukai untuk tujuan propaganda.

Encik Trump sebelum ini mempertahankan iklan berkenaan sebagai usaha mempromosikan Amerika Syarikat secara positif.

Namun, beliau berkata iklan tersebut tidak lagi akan dibiayai menggunakan wang pembayar cukai.

Rumah Putih pula menyatakan bahawa jawatankuasa tindakan politik Encik Trump, MAGA PAC, akan menanggung kos iklan itu pada masa akan datang.

Bagaimanapun, MAGA PAC tidak akan membayar balik wang pembayar cukai yang sudah digunakan bagi iklan yang disiarkan sebelum ini.

Iklan tersebut sebelum ini turut memaparkan kenyataan bahawa kos penyiarannya ditanggung pemerintah Amerika Syarikat.

SAMAN TURUT DIFAILKAN DI WASHINGTON

Selain Common Cause, pihak yang memfailkan saman itu termasuk sebuah kesatuan pekerja sektor awam dan seorang calon bagi Dewan Perwakilan Negeri Alabama.

Mereka meminta mahkamah mengeluarkan perintah sementara sebelum Jumaat (9 Okt) bagi menghalang iklan berkenaan daripada disiarkan ketika rancangan hujung minggu, termasuk perlawanan bola sepak Amerika dan program Saturday Night Live.

Pegawai Parti Democrat turut mencabar iklan tersebut menerusi satu saman berasingan yang difailkan di mahkamah persekutuan di Washington.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat belum memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas keputusan hakim itu.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita