Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Haji tahun ini satu kejayaan besar, kata Gabenor Makkah

Anggaran Waktu Membaca:

MINA: Gabenor Makkah, Putera Khaled Al-Faisal, yang juga Penasihat kepada Penjaga Dua Masjid Suci mengumumkan pada Isnin (11 Jul) bahawa musim Haji tahun ini merupakan kejayaan yang besar. 

Demikian menurut laporan Saudi Gazette. 

"Saya amat berbesar hati untuk mengumumkan kejayaan pelan Haji untuk tahun ini pada semua peringkat keselamatan, khidmat dan kesihatan, tanpa melaporkan sebarang kejadian atau penyakit epidemik di kalangan jemaah," katanya, sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha untuk memastikan musim Haji tahun ini berjalan dengan lancar. 

"Bagi pihak semua pegawai yang menyediakan khidmat kepada jemaah, saya mengucapkan tahniah kepada Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed Salman bagi kejayaan perhimpunan besar-besaran umat Islam ini," katanya dalam satu kenyataan dinukil Saudi Press Agency. 

Kenyataan Gabenor Makkah itu dikeluarkan sedang sebahagian besar jemaah mula melakukan Tawaf Al-Wida sebelum meninggalkan Makkah pada Isnin malam (11 Jul) selepas menyempurnakan ibadah Haji. 

Putera Khaled Al-Faisal yang juga pengerusi Jawatankuasa Pusat Haji turut melahirkan rasa syukur atas usaha dan projek pembangunan yang dilaksanakan kerajaan Saudi, serta pegawai-pegawai yang menyediakan khidmat kepada jemaah agar mereka dapat mendirikan ibadah dengan mudah dan selesa. 

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Tinggi Haji Putera Abdulaziz Saud Naif atas sokongan dan meluluskan pelan keselamatan bagi musim Haji ini.

"Selain itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua sektor yang mengambil bahagian dalam musim Haji ini dan menyediakan khidmat kepada jemaah, termasuk pegawai keselamatan dan perubatan yang memainkan peranan utama dengan menyediakan khidmat perubatan sewajarnya," kata Putera Khaled Al-Faisal. 

Kejayaan itu katanya usaha hebat kerajaan Saudi serta pelbagai agensi kerajaan dan privet yang terlibat dalam menyediakan khidmat bagi jemaah Haji. 

"Kejayaan yang kami saksikan setiap musim Haji bukan datang secara kebetulan, tetapi berkat Tuhan dan juga kepimpinan negara ini sejak zaman Raja Abdulaziz disusuli anak-anak lelakinya, sehingga zaman Raja Salman. 

"Alhamdulillah bagi kejayaan ini, dan terima kasih kepada kepimpinan yang mengerahkan sumber dan pegawainya, serta memudahkan jemaah untuk mendirikan rukun Islam kelima dengan mudah," tambahnya. 

Gabenor Makkah itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai yang bekerja keras memastikan keselesaan jemaah. 

"Terima kasih juga kepada jemaah yang membantu kami dalam memberikan khidmat yang terbaik," katanya lagi, seperti dinukil Saudi Gazette. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan