Skip to main content

Dunia

HAJI 2026: 700 jemaah SG buat persiapan berangkat ke Arafah, 200 lagi sudah tiba di Mina untuk Hari Tarwiyah

Anggaran Waktu Membaca:
HAJI 2026: 700 jemaah SG buat persiapan berangkat ke Arafah, 200 lagi sudah tiba di Mina untuk Hari Tarwiyah

Para jemaah lelaki GSA Halijah Travels di dalam khemah Mina (Gambar: Halijah Travels)

Diterbitkan : 25 May 2026 04:50PM

MAKKAH: Sekitar 700 jemaah Haji Singapura yang berada di Makkah sedang membuat persiapan untuk bergerak ke Arafah pada Isnin (25 Mei).

Kumpulan jemaah itu dijadualkan berangkat dari tempat penginapan di Conrad Makkah dan Spark@Hilton, Aziziyah dari jam 4.00 petang waktu Arab Saudi, atau sekitar pukul 9.00 malam waktu tempatan.

Sebanyak 16 bas yang akan membawa para jemaah dan para pegawai ke Arafah.

Para jemaah yang akan langsung ke Arafah merupakan para jemaah daripada GSA Hagel Travel & Tours, Hahnemann Travel & Tours, Jalaluddin Travel & Services, Noor Mohamad Services & Travel, Shahidah Travel & Tours dan TM Fouzy Travel & Tours.

Perkembangan itu dikongsi oleh Pengarah Jalaluddin Travel & Services, Cik Noor Faizah Mustaffa yang juga Penolong Setiausaha AMTAS kepada wartawan Nurhelmy Hakim.

HAMPIR 200 JEMAAH DAN PEGAWAI HALIJAH TRAVELS TIBA DI MINA UNTUK HARI TARWIYAH

Baki seramai 195 jemaah dan pegawai daripada GSA Halijah Travels pula akan berangkat ke Arafah dari Mina.

Terdahulu, mereka telah berangkat dari Shisha ke Mina pada sekitar jam 7.30 pagi waktu Arab Saudi (25 Mei).

Setakat jam 9.00 pagi waktu Arab Saudi, rombongan itu sudah selamat sampai di Mina untuk Hari Tarwiyah.

Related article image
Para jemaah Haji GSA Halijah Travels di dalam khemah Mina (Gambar: Halijah Travels)
Para jemaah itu akan bermalam di Mina di dalam khemah-khemah yang telah disediakan.

Rombongan Halijah Travels dijadualkan bergerak ke Arafah pada Selasa (26 Mei) selepas waktu Subuh waktu Arab Saudi.

PENGGUNAAN KERUSI RODA SEMASA MENUNAIKAN HAJI

Para pemimpin GSA memaklumkan bahawa setakat Isnin (25 Mei), para jemaah mereka rata-rata masih dalam keadaan sihat, dan belum begitu ramai yang meminta untuk menggunakan kerusi roda.

Cik Noor Faizah misalnya berkata: "Alhamdulillah, kami tidak ada jemaah yang perlu menggunakan kerusi roda. Paling tidak pun, ada jemaah yang tidak boleh berjalan terlalu jauh."

"Jadi untuk ibadah di Arafah, tiada jemaah saya yang memerlukan bantuan kerusi roda. Mungkin, apabila para jemaah perlu berjalan ke Jamrah pada 10 Zulhijjah dan hari-hari Tasyriq, baru kami akan membantu uruskan permintaan mereka," tambah beliau.

Bagi para jemaah yang meminta untuk menggunakan kerusi roda pula, GSA memberi jaminan untuk menepati permintaan mereka sebaiknya.

Pengarah Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamed berkata: "Setakat ini, memang ada beberapa permintaan untuk menggunakan kerusi roda. Semua pihak syarikat masih lagi belum boleh memberi kepastian kerana mengupah orang untuk menolak (kerusi roda)untuk Masyair sangat terhad kerana terdapat langkah-langkah ketat oleh kerajaan Arab Saudi."

Pengurus Hahnemann Travel & Tours, Ustaz Muhammad Ahmad pula memaklumkan bahawa seramai lima jemaah mereka yang sudah meminta untuk menggunakan kerusi roda.

"Seorang jemaah Muslimah akan didorong oleh suaminya. Bakinya masih lagi menunggu kepastian kerana agak sukar untuk mendapatkan orang untuk menolak kerusi roda disebabkan tasreh," ujar beliau.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (MOHU) sebelum ini menetapkan bahawa jemaah perlu berada dalam keadaan sihat untuk menunaikan ibadah Haji.

BACA: analisisBERITA: Syarat baharu bagi bakal jemaah haji dapatkan Sijil Kesihatan Perubatan - Mengapa diperlukan dan apa yang harus diketahui?

Namun, Ustaz Muhammad Ahmad menjelaskan bahawa sekiranya perlu, para jemaah masih boleh menggunakan kerusi roda di Tanah Suci.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita