Skip to main content

Dunia

Haji 2025 yang terbaik dalam tempoh 50 tahun, kata menteri Haji & Umrah Saudi

Anggaran Waktu Membaca:
Haji 2025 yang terbaik dalam tempoh 50 tahun, kata menteri Haji & Umrah Saudi

Umat Islam melawat Masjidil Haram menjelang akhir musim haji 1446 Hijrah pada 8 Jun 2025. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 11 Nov 2025 03:18PM Dikemas Kini : 11 Nov 2025 03:20PM
JEDDAH: Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tawfiq Al-Rabiah, mengesahkan Musim Haji 2025 adalah yang paling luar biasa dalam semua aspek.

"Ia adalah Haji yang terbaik dalam tempoh 50 tahun yang lalu, dengan kepuasan jemaah mencapai 91 peratus," katanya semasa berucap di edisi kelima Persidangan dan Pameran Haji, seperti dilaporkan oleh Saudi Gazette.

Persidangan yang bermula pada Ahad (9 Nov) di Jeddah Superdome itu, diadakan di bawah naungan Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman. Persidangan bertema “Dari Makkah ke Dunia” ini dianjurkan oleh Kementerian Haji dan Umrah serta Program Pengalaman Jemaah, salah satu inisiatif di bawah Wawasan Saudi 2030.

Acara itu menyaksikan perasmian edisi pertama Forum Sejarah Haji dan Dua Kota Suci, yang dianjurkan oleh Yayasan Raja Abdulaziz untuk Penyelidikan dan Arkib (Darah).

Perasmian itu dihadiri oleh menteri, pegawai kanan, wakil negara Islam, dan ketua pejabat hal ehwal haji. Persidangan dan pameran itu akan berlangsung sehingga Rabu (12 Nov), menampilkan lebih 143 sesi dialog dan bengkel dengan penyertaan pakar dan penceramah terkemuka dari lebih 150 negara.

KOMITMEN KERAJAAN SAUDI & PERSIAPAN AWAL

Bagi pihak Raja Salman, Timbalan Amir Makkah, Putera Saud bin Mishaal, merasmikan persidangan tersebut. Dalam ucapannya, Putera Saud menegaskan komitmen teguh Kerajaan Saudi untuk meneruskan usaha mulia yang dimulakan oleh Raja Abdulaziz dalam berkhidmat untuk Dua Kota Suci dan menjaga kemaslahatan pengunjungnya. Beliau menekankan dedikasi Arab Saudi untuk sentiasa membangunkan dan menambah baik perkhidmatan yang ditawarkan kepada jemaah haji dan pengunjung, untuk membolehkan mereka menunaikan ibadah dengan mudah dan selesa.

Putera Saud memuji kejayaan Musim Haji 2025 serta penganjuran dan perkhidmatannya yang luar biasa, yang mencerminkan usaha besar dan kerjasama antara semua agensi kerajaan. Beliau berdoa agar hasil persidangan itu akan menyumbang kepada pengukuhan kerjasama dan penyelarasan bersama, membina kejayaan yang dicapai dalam edisi persidangan sebelum ini.

HAJI BUKAN SEKADAR IBADAH BERMUSIM

Berucap di persidangan itu, Putera Faisal bin Salman, penasihat khas kepada Penjaga Dua Kota Suci dan pengerusi Lembaga Pengarah Darah, menyatakan bahawa Haji bukan sekadar ibadah bermusim, tetapi sebaliknya merupakan perjalanan iman merentasi sejarah, yang merangkumi perjalanan manusia ke arah tauhid sejak zaman purba.

"Sepanjang sejarah Islam, Haji kekal menjadi simbol perpaduan dan kekuatan negara Islam, walaupun menghadapi cabaran, sehinggalah Allah SWT melimpahkan rahmat-Nya ke atas bumi yang diberkati ini, yang menjadikan khidmat kepada Dua Kota Suci dan memastikan keselamatan jemaah haji sebagai tanggungjawab agama dan nasional yang mantap," katanya seperti dipetik oleh Saudi Gazette.

Putera Faisal mengumumkan pelancaran "Forum Sejarah Haji dan Dua Kota Suci" dengan kerjasama Kementerian Haji dan Umrah dan Program Duyuf Al Rahman.

"Ia adalah inisiatif yang menitikberatkan langkah merakam sejarah Haji dan peringkatnya sepanjang zaman, dari zaman sebelum Islam hingga era Saudi secara saintifik yang menyerlahkan bukti sejarah dan merakam transformasi serta aspek pembangunan," katanya.

Beliau menambah, sejak negara Saudi pertama, pendekatan kepimpinan kekal teguh dalam melindungi kafilah Haji, mengamankan laluan mereka, memuliakan dan menjaga jemaah haji, serta menjadikan khidmat kepada jemaah sebagai amanah agama dan tanggungjawab nasional yang diwarisi turun-temurun.

Beliau menegaskan bahawa di bawah kepimpinan Saudi hari ini, Haji sudah mencapai tahap penganjuran, perkhidmatan, dan integrasi tertinggi, lapor Saudi Gazette.

Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Tawfiq Al-Rabiah berkata bahawa persidangan itu mencerminkan sokongan kepimpinan yang bijaksana dan usaha berterusan Kerajaan Saudi untuk memajukan sektor perkhidmatan Haji selaras dengan Wawasan 2030, memastikan pengalaman yang lancar, penuh kerohanian, dan memperkayakan para jemaah.

Beliau menyatakan bahawa Kementerian Haji dan Umrah memulakan persiapan untuk musim Haji yang akan datang pada 13 Zulhijjah, hari terakhir Haji, dengan bekerja secara sistematik dan kesiapsiagaan awal, di bawah penyeliaan Jawatankuasa Tertinggi Haji dan dengan kerjasama penuh pelbagai agensi kerajaan.

Menteri itu mendedahkan bahawa kontrak asas untuk lebih 60 peratus jemaah sudah dimuktamadkan, manakala persiapan untuk 50 peratus tempat suci sudah selesai dan dijangka bersedia sepenuhnya menjelang 1 Zulkaedah.

"Lebih 70 peratus bangunan kediaman dan hotel juga sudah disediakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan," katanya, sambil mengatakan bahawa musim Haji 2025 dicirikan oleh usaha bersepadu dan perkhidmatan yang bersepadu, menghasilkan peningkatan ketara dari segi kepuasan jemaah, yang meningkat dari 74 peratus pada 2022 kepada 91 peratus tahun lalu.

Menteri Tawfiq Al-Rabiah seterusnya berkata bahawa aplikasi Nusk sudah melepasi 40 juta pengguna di seluruh dunia dan sudah memasuki fasa pembangunan baharu, menggunakan teknologi kecerdasan buatan melalui ciri "Nusk AI".

Beliau juga bercakap mengenai pembangunan 71 tapak sejarah dan kebudayaan di Makkah dan Madinah, yang sudah dikunjungi oleh lebih tiga juta orang, dengan kadar kepuasan melebihi 95 peratus.

Semasa persidangan itu, beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman ditandatangani dalam kalangan para peserta untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang teknologi, operasi, dan mutu perkhidmatan untuk jemaah haji.
Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita