HAJI 2025: Jemaah haji lakukan lontaran ketiga-tiga jamrah hari ini
Jemaah haji pada 2020 lontar jamrah di Mina (Gambar: SPA/AFP)
JEDDAH: Para jemaah haji Singapura yang selesai melontar jamrah pertama Aqaba di Mina semalam (6 Jun), menyempurnakan pula ibadah tawaf dan sai di Masjidil Haram.
Hari ini (7 Jun), selepas bermalam di Mina, mereka akan melakukan lontaran ketiga-tiga jamrah.
Kompleks jamrah di Mina dilaporkan boleh menampung kapasiti 300,000 jemaah setiap jam.
Ini bagi menjamin kelancaran dan keselamatan para jemaah terutama semasa hari-hari Tasyriq.
Setinggi lima tingkat, kompleks lengkap dengan 386 tangga bergerak direka untuk menggalakkan perjalanan sehala bagi mengelakkan pertembungan orang ramai dari arah bertentangan.
Awal dari itu, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman memuji kecekapan pasukan keselamatan dan para petugas kerajaan serta kegigihan mereka dalam memastikan kelancaran dan kemaslahatan para jemaah Haji.
Sekitar 213,000 petugas dari pelbagai sektor terlibat tahun ini.
Tambah beliau, Arab Saudi akan terus mengutamakan keselesaan dan keselamatan jemaah melalui perkhidmatan bersepadu serta komitmen institusi yang utuh.
SAMBUTAN DI NEGARA-NEGARA ASIA
Majoriti negara Asia Tenggara menyambut Aidiladha hari ini (7 Jun). Hanya Indonesia dan Filipina menyambut Hari Raya Haji semalam (6 Jun).
Di Myanmar, umat Islam tempatan mengerjakan solat Eid di masjid-masjid setempat di Yangon pagi tadi.
Hanya sekitar 4 peratus penduduk Myanmar adalah orang Islam, dengan kebanyakan mereka tinggal di wilayah Rakhine dan dikenali sebagai kaum Rohingya.
Majoriti negara Asia Selatan seperti Bangladesh dan Pakistan juga menyambut Aidiladha hari ini.
Di Karachi, bandar terbesar Pakistan, para penganut Islam menunaikan solat Eid di masjid-masjid dan kawasan tanah lapang di merata bandar itu.
Selepas solat, mereka meneruskan ibadah korban sebagaimana lazimnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.