Skip to main content

Dunia

Haji 2023: Arab Saudi sambut kedatangan lebih 2 juta jemaah dari 160 negara

Anggaran Waktu Membaca:
Haji 2023: Arab Saudi sambut kedatangan lebih 2 juta jemaah dari 160 negara

(Gambar: Saudi Gazette/Facebook)

JEDDAH: Lebih dua juta jemaah dari lebih 160 negara di merata dunia akan menunaikan haji tahun ini.

Demikian menurut Menteri Haji dan Umrah Dr. Tawfiq Al-Rabiah, lapor agensi berita Saudi Gazette.

Beliau mendedahkan bahawa jumlah tempahan penerbangan bagi mereka yang melakukan perjalanan ke negara tersebut untuk menunaikan haji mencecah 1.7 juta.

Menteri tersebut menambah bahawa pengamal kesihatan yang ditugaskan untuk menyediakan khidmat kepada para jemaah menjangkaui 32,000.

"Dalam beberapa hari, jutaan umat Islam dari merata dunia akan melaungkan talbiyah. Kerajaan dan rakyat Arab Saudi mengambil bahagian dalam memastikan kelancaran dalam pelaksanaan ibadah haji di kalangan para jemaah," ujarnya.

Encik Al-Rabiah turut menyampaikan ucapan terima kasihnya kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman serta Putera Mahkota dan Perdana Menteri Mohammed bin Salman atas langkah susulan yang diambil bagi memastikan perkhidmatan disediakan kepada para jemaah, agar mereka dapat menunaikan ibadah tersebut dengan mudah dan selesa.

Dengan merujuk kepada sistem pengangkutan di tapak suci tersebut, Encik Al-Rabiah menyatakan bahawa tapak suci Mina, Arafat dan Muzdalifa berhubung dengan sebuah sistem pengangkutan bersepadu dan dilengkapi dengan prasarana bersepadu.

Beliau menarik perhatian bahawa kereta api elektrik mesra alam itu terdiri daripada 17 kereta api yang meliputi sembilan stesen, dengan anggaran kapasiti operasi sebanyak 72,000 penumpang setiap jam, di samping kehadiran bas secara berkala, yang bilangannya menjangkaui 24,000 bas.

Menteri tersebut juga berkongsi mengenai aturan terperinci yang dibuat untuk para jemaah.

"Kepimpinan kami memanfaatkan sistem kesihatan, keselamatan dan perkhidmatan awam yang canggih serta peralatan, dengan keupayaan Arab Saudi yang cemerlang, di semua tapak terutama di Mina, yang merupakan bandar khemah terbesar di dunia, dengan keluasan melebihi 192,000 meter persegi untuk menampung jemaah," menurutnya.

Encik Al-Rabeeah turut menekankan bahawa kementerian tersebut sedang bekerja keras untuk memastikan keselesaan serta pengalaman baik bagi para jemaah semasa menunaikan haji.

"Pencapaian ini bukan hasil usaha selama beberapa hari, bahkan usaha selama bertahun-tahun, di mana semua kemungkinan diterokai bagi menjamin keselesaan para jemaah," tambahnya, dipetik daripada Saudi Gazette.
 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita