Haji 2019: Arab Saudi turap permukaan jalan; kurangkan kesan cuaca panas
Setiausaha Kota Makkah melaksanakan satu projek untuk menurap permukaan laluan pejalan-kaki di bandar suci Makkah bagi mengurangkan kesan dari cuaca panas sepanjang musim haji.
(Gambar: AMER HILABI / AFP)
MAKKAH: Setiausaha Kota Makkah melaksanakan satu projek untuk menurap permukaan laluan pejalan-kaki di bandar suci Makkah bagi mengurangkan kesan dari cuaca panas sepanjang musim haji.
Fasa pertama projek itu, menurap laluan-laluan pejalan kaki di Mina menuju ke Jamrah yang meliputi laluan sepanjang 3,500 meter persegi.
Pengarah Agung Musim Haji Di Makkah Encik Ahmed Manshi, menjelaskan projek tersebut dilaksanakan dengan kerjasama syarikat Jepun Sumitomo.
Projek tersebut bertujuan untuk mengurangkan suhu panas dipermukaan laluan pejalan kaki yang diturap sebanyak 15 hingga 20 darjah selsius.
Laluan-laluan itu juga akan dilengkapi dengan lampu dan bumbung bagi menambah keselesaan jemaah.
Beliau menjelaskan bagi mengetahui keberkesanan projek itu satu tinjauan akan dijalankan di kalangan para jemaah haji tahun ini.
Institut Kajian Haji dan Umrah Makkah akan mengumpul maklumat dari kajian yang dijalankan bagi mengetahui sama ada projek tersebut perlu diperluaskan di beberapa kawasan lain di kota Makkah.
Projek itu dijalankan setelah pembinaan rangkaian laluan pejalan kaki yang dibina dari Jabal Al-Rahma di Arafat ke Mina melalui Muzdalifah selesai dibina.
Projek-projek menaik-taraf laluan pejalan kaki itu dilaksanakan bagi memastikan keselesaan, dan keselamatan para jemaah haji sepanjang menjalankan ibadah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.