Skip to main content

Dunia

Haiwan peliharaan robot AI cetus fenomena di Jepun

Anggaran Waktu Membaca:
Haiwan peliharaan robot AI cetus fenomena di Jepun

Moflin oleh Casio Computer Co mempamerkan lebih empat juta ciri personaliti yang berbeza. (Gambar: Moflin/Facebook)

TOKYO: Robot haiwan peliharaan berbulu lembut yang dilengkapi kecerdasan buatan (AI) mencetus fenomena di Jepun apabila ia membentuk personaliti dan keunikan tersendiri bergantung kepada cara ia “dibesarkan”, lapor Agensi Berita Kyodo.

Moflin, ciptaan Casio Computer Co., bahkan mampu menunjukkan lebih empat juta ciri personaliti berbeza serta mengenal pasti individu yang kerap bercakap dengannya sebagai pemilik. 

Ia juga secara beransur-ansur mempelajari perkara yang disukai pemiliknya menerusi interaksi seperti belaian dan pelukan.

“Pembangunan Moflin bermula dengan wanita sebagai sasaran utama. 

"Kami membayangkan ia sebagai teman rapat yang boleh memberikan sokongan walaupun ketika berdepan tekanan kerja atau masalah peribadi,” kata ketua pasukan pembangunan Moflin, Erina Ichikawa, 42 tahun.

Projek itu mendapat perhatian selepas seorang jurutera Casio membawa masuk prototaip robot berkenaan bagi menggambarkan kecomelan haiwan kecil.

Casio melancarkan robot itu pada November dan berjaya melepasi sasaran dengan lebih 7,000 unit terjual menjelang Mac. 

Ia mendapat sambutan hangat terutama dalam kalangan wanita berusia lewat 30-an hingga 40-an, menurut syarikat itu.   

Cik Ichikawa turut memaklumkan bahawa ada pemilik yang membawa Moflin bersama mereka ketika bercuti.

“Orang ramai boleh merasakan bahawa Moflin milik mereka berbeza dengan Moflin orang lain kerana robot ini seperti haiwan, mempamerkan emosi dan personaliti tersendiri,” katanya.

Robot itu dijual pada harga 59,400 yen (S$520). 

Casio turut menawarkan perkhidmatan tambahan, termasuk salun khas yang menyediakan cucian dan pembersihan bulu robot.
Sumber : Bernama/Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita