Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hagia Sophia akan ditukar menjadi masjid

Presiden Recep Taayyip Erdogan mengatakan bahawa sudah masanya mercu tanda Istanbul, Hagia Sophia, dinamakan semula sebagai sebuah masjid. Beliau menambah, langkah menjadikan tempat itu sebagai satu muzium merupakan satu "kesilapan besar".

Anggaran Waktu Membaca:
Hagia Sophia akan ditukar menjadi masjid

(Gambar fail: Yasin Akgul/AFP)

Diterbitkan : 28 Mar 2019 10:26AM Dikemas Kini : 28 Mar 2019 10:28AM

ISTANBUL: Presiden Recep Taayyip Erdogan mengatakan bahawa sudah masanya mercu tanda Istanbul, Hagia Sophia, dinamakan semula sebagai sebuah masjid. Beliau menambah, langkah menjadikan tempat itu sebagai satu muzium merupakan satu "kesilapan besar".

"Hagia Sophia tidak akan dipanggil sebagai sebuah muzium. Itu bukan lagi statusnya. Kami akan menamakan Hagia Sophia sebagai sebuah masjid," kata Presiden Erdogan dalam satu wawancara yang disiarkan saluran A Haber.

"Mereka yang datang ke Hagia Sophia akan mengunjunginya sebagai sebuah masjid," katanya.

Hagia Sophia, yang pernah menjadi gereja dan masjid sebelum dijadikan sebagai sebuah muzium, sering mencetuskan ketegangan antara masyarakat Muslim dengan Kristian kerana kegiatan agama Islam yang diadakan di sana termasuk membaca Quran atau sembahyang berjemaah.

Status sekularnya membolehkan orang ramai tidak kira agama untuk memasuki bangunan itu dan menikmati seni binanya yang mengagumkan. Hagia Sophia dipercayai dibangunkan pada abad keenam.

Presiden Erdogan sedang berkempen bagi mendapatkan sokongan untuk Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) menjelang pilihan raya perbandaran pada 31 Mac.

Pemimpin Turki itu berkata bahawa rancangan itu akan dibincangkan selepas pilihan raya.

"Kami berfikir sudah sampai masanya untuk mengambil langkah tersebut memandangkan ada permintaan" daripada rakyat Turki, katanya.

Langkah itu dijangkakan akan mencetuskan kemarahan penganut Kristian dan menimbulkan ketengangan antara Turki dengan Greece - kedua-duanya anggota NATO.

Perdana Menteri Greece Alexis Tsipras mengunjungi Hagia Sophia pada Februari.

Ditanya tentang kritikan terhadap langkah itu, Presiden Erdogan berkata: "Ada serangan-serangan yang menyasarkan masjid Al-Aqsa," sambil merujuk kepada tapak di Baitulmakdis yang dipanggil sebagai 'Temple Mount' oleh penganut Yahudi.

"Mereka yang terus berdiam tentang perkara ini tidak wajar menasihati kami tentang (Hagia Sophia)," tambahnya.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan