Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hadiah tidak setimpal kesetiaan bekerja 27 tahun di Burger King AS, netizen kumpul dana AS$155,901

Kehidupan seorang pekerja Burger King di Amerika Syarikat berubah dalam sekelip mata gara-gara sebuah video yang tular di media sosial, lapor MalayMail memetik NewsNation.

Anggaran Waktu Membaca:
Hadiah tidak setimpal kesetiaan bekerja 27 tahun di Burger King AS, netizen kumpul dana AS$155,901

Restoran Burger King di Daly City, California, pada 15 Feb 2022. (Gambar: AFP)

PETALING JAYA: Kehidupan seorang pekerja Burger King di Amerika Syarikat berubah dalam sekelip mata gara-gara sebuah video yang tular di media sosial, lapor MalayMail memetik NewsNation.

Video tersebut menunjukkan pekerja berkenaan menerima sekadar sebuah beg cenderamata sempena meraikan 27 tahun bekerja di restoran makanan segera itu. Ia menarik perhatian warga net yang merasakan beliau layak menerima lebih daripada sekadar beberapa batang pena, bekas minuman dan tiket wayang atas kesetiannya itu.

Bahkan ramai juga yang meluahkan rasa tidak puasa hati mereka terhadap Burger King sambil menyatakan bahawa pekerja itu sepatutnya diberikan sesuatu lebih berharga kerana tidak pernah sesekalipun mengambil hari cuti sepanjang 27 tahun berkhidmat untuk restoran tersebut.

Menyusuli itu, pekerja berkenaan, Kevin Ford, dikejutkan dengan pemberian dana muhibah berjumlah AS$155,901 (S$215,900) melalui satu usaha pengumpulan derma secara online.

Beliau yang berasal dari Nevada berkata wang tersebut akan digunakan untuk membantu membiayai kos pendidikan cucu-cucunya, menurut laporan NewsNation.

Inisiatif pengumpulan dana itu sebenarnya dimulakan oleh anak perempuan Ford, yang membuka sebuah akaun GoFundMe. Dalam masa hanya empat hari, ia meraih sumbangan lebih AS$155,901.

Ford, yang bekerja di cawangan Burger King di lapangan terbang Las Vegas, berkata beliau amat tersentuh dengan pemberian muhibah itu.

"Sikap murah hati orang ramai begitu luar biasa. Saya sudah menangis buat tiga hari mengenangkannya. Saya masih tidak boleh percaya, saya benar-benar tidak boleh percaya," ungkapnya.

“Saya juga tidak pernah terlepas walau satu syif sekalipun sepanjang 27 tahun saya bekerja. Saya tidak tahu bagaimana saya melakukannya! Mungkin saya robot?" sempat beliau berseloroh.

Ford, seorang bapa tunggal dilaporkan bekerja di rangkaian makanan segera itu untuk mendapatkan hak penjagaan ke atas kedua-dua anaknya.
Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan