Hadiah Tahun Baru: Kutipan tol motosikal Linkedua dimansuhkan mulai 1 Jan
Pemansuhan kutipan tol bagi motosikal di Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) dekat Gelang Patah, mulai tengah malam tadi (1 Jan), memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 penduduk sekitar Johor Bahru yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.

Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir menghadiri majlis pemansuhan kutipan tol bagi motosikal di Plaza Tol Tanjung Kupang di Gelang Patah. (Gambar: BERNAMA)
ISKANDAR PUTERI: Pemansuhan kutipan tol bagi motosikal di Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) dekat Gelang Patah, mulai tengah malam tadi (1 Jan), memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 penduduk sekitar Johor Bahru yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.
Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir berkata pemansuhan itu sememangnya menjadi berita gembira khususnya buat mereka yang berulang-alik ke tempat kerja dari Malaysia ke Singapura sekali gus menjadi hadiah 'tahun baru' yang cukup bermakna dalam mengurangkan kos sara hidup.
"Dengan pemansuhan kutipan tol bagi motosikal mulai 1 Jan, kira-kira 50,000 penduduk sekitar Johor Bahru yang menggunakan plaza tol ini secara harian akan meraih manfaat jangka panjang.
"Mereka juga akan mendapat penjimatan kos bernilai antara RM24.20 (S$8) sehingga RM66 (S$22) sebulan berdasarkan kiraan hari bekerja purata 22 hari atau 30 hari sebulan," kata Encik Mohd Anuar.
Beliau menambah, pemansuhan tol bagi motosikal berkenaan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 Nov, selaras komitmen kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Dengan pemansuhan itu, pengguna motosikal akan menikmati laluan tanpa tol 19 tahun lebih awal daripada tempoh yang dijadualkan dalam Perjanjian Konsesi Lebuhraya Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).
Encik Mohd Anuar selanjutnya berkata, Linkedua dibuka kepada para pengguna sejak 1998 dan secara tidak langsung menyumbang jasa kepada orang ramai khususnya yang bermotosikal secara harian berulang-alik ke tempat kerja dari Malaysia ke Singapura.
Sebelum ini, penunggang motosikal perlu membayar tol RM1.10 (S$0.40) di Plaza Tol Tanjung Kupang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.