Skip to main content

Dunia

Hadi Awang terus sampaikan kuliah di masjid meski dilarang pihak berkuasa agama Terengganu

Anggaran Waktu Membaca:
Hadi Awang terus sampaikan kuliah di masjid meski dilarang pihak berkuasa agama Terengganu

(Gambar: Facebook/Abdul Hadi Awang)

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada Jumaat (10 Mac) menyampaikan kuliah duha mingguan seperti biasa di Masjid Rusila di Marang, Terengganu.

Perkara itu dilaporkan beberapa media dan rakamannya juga dimuat naik ke media sosialnya pada Jumaat.

Menurut Facebook Encik Abdul Hadi, beliau turut menyampaikan khutbah Jumaat di masjid yang sama.

Sebelum ini, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu melarang ahli politik termasuk ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri (Adun) serta senator daripada menyampaikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di Terengganu.
Agensi berita Malaysiakini menyatakan mereka turut dilarang menyampaikan khutbah Jumaat.

Menurut portal Utusan Malaysia, Encik Abdul Hadi berbuat demikian di masjid berkenaan selepas Majlis Penyerahan Tabung Bencana Gempa Bumi Turki dan Syria, peringkat PAS Terengganu.

Berdasarkan maklumat terkini di portal Portal Data Terbuka Sektor Awam, yang dikemas kini setakat 4 Mac 2021, nama Encik Abdul Hadi tidak disenaraikan sebagai penerima tauliah negeri itu.

Portal itu menyediakan pangkalan data kepada rakyat bagi mencapai dan memuat turun set data terbuka kerajaan secara dalam talian.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Husain Awang, juga dilaporkan berkata parti itu menyarankan semua ahlinya yang belum memiliki tauliah tersebut supaya mengemukakan permohonan bagi membolehkan mereka mengajar agama secara sah.

“Insya-Allah kita mohon (tauliah) . Ada yang telah mohon, ada yang dapat, ada yang tidak dapat,” katanya, dipetik daripada Malaysiakini.

Arahan larangan tersebut - yang bertarikh 2 Mac - dikeluarkan selepas Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dukacita apabila ada ahli politik mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Pengecualian diberikan kepada pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran daripada Maidam.

Encik Abdul Hadi pada 4 Mac lalu menegaskan bukan menjadi satu kesalahan untuk ahli politik menyampaikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau-surau.

Sebaliknya, menurut Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, menjadi satu kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai “politik Islam”.

Malah, katanya, “Nabi SAW pun cakap politik dalam khutbah”.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita