Skip to main content

Dunia

Guterres jadi ketua PBB pertama lawat Syria sejak 2011

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, tiba di Damsyik pada Sabtu (25 Jul) bagi lawatan pertama oleh seorang ketua PBB yang sedang berkhidmat ke Syria sejak 2009, sebelum tercetusnya perang saudara yang mengorbankan ratusan ribu nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Anggaran Waktu Membaca:
Guterres jadi ketua PBB pertama lawat Syria sejak 2011

Menteri Luar Syria Asaad Hassan al-Shaibani berjabat tangan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, di ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat, pada 28 April 2025. (Gambar: REUTERS/Eduardo Munoz)

Diterbitkan : 25 Jul 2026 06:18PM
  • Antonio Guterres, Setiausaha Agung PBB, melakukan lawatan bersejarah ke Damsyik, bertemu Presiden Syria Ahmed al Sharaa dan pemimpin lain untuk menunjukkan sokongan PBB kepada Syria.
  • Lawatan ini berlaku selepas penggulingan Bashar al-Assad pada 2024, menandakan permulaan tempoh peralihan di bawah kepimpinan baharu kumpulan Islamis.
  • Pemerintah baharu Syria berusaha memulihkan hubungan antarabangsa dan ekonomi negara, di tengah cabaran keganasan mazhab serta isu perlindungan minoriti.
  • PBB dan negara-negara lain, termasuk Amerika Syarikat, mula mengurangkan sekatan dan menyokong usaha Syria untuk kestabilan dan masa depan yang lebih inklusif.
Dijana oleh AI
BEIRUT: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, tiba di Damsyik pada Sabtu (25 Jul) bagi lawatan pertama oleh seorang ketua PBB yang sedang berkhidmat ke Syria sejak 2009, sebelum tercetusnya perang saudara yang mengorbankan ratusan ribu nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.

"PBB berdiri bersama Syria pada detik yang penting ini," kata Encik Guterres dalam satu catatan di platform X sejurus selepas beliau tiba bagi apa yang disifatkannya sebagai "lawatan perpaduan".

Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya "tidak berbelah bahagi" dalam menyokong rakyat Syria.

Presiden Syria, Ahmed al Sharaa, menerima kunjungan Encik Guterres di istana presiden di Damsyik, menurut agensi berita negara, SANA.

Encik Sharaa, mantan ketua cabang Al-Qaeda di Syria, sebelum ini dikenakan sekatan berkaitan keganasan oleh Majlis Keselamatan PBB sehingga November 2025.

Lawatan Encik Guterres merupakan satu lagi detik penting bagi Syria selepas kumpulan pemberontak menggulingkan Presiden Bashar al-Assad pada penghujung 2024, sekali gus menamatkan perang yang bermula pada 2011 dan membuka laluan kepada tempoh peralihan di bawah kepimpinan baharu yang diterajui kumpulan Islamis.

Ketika itu, Encik Guterres menyifatkan "pengakhiran pemerintahan diktator Syria" di bawah Encik Assad sebagai satu petanda harapan bagi rantau berkenaan.

Ketua PBB itu juga dijadual bertemu dengan Menteri Luar Syria, Asaad al-Shaibani, pegawai kanan pemerintah lain serta wakil masyarakat sivil Syria, kata jurucakap PBB Stephane Dujarric pada Selasa.

SYRIA KEMBALI KE PERSADA DUNIA

Encik Guterres akan menegaskan bahawa Syria kini mempunyai peluang "bukan sahaja untuk pulih daripada konflik, malah meletakkan asas kepada masa depan yang lebih stabil, lebih inklusif dan lebih makmur untuk semua rakyat Syria," kata Encik Dujarric.

Beliau dijangka berada di Damsyik selama beberapa hari, namun jadual penuh lawatan itu belum didedahkan oleh pejabatnya.

Lawatan tersebut berlangsung hanya beberapa minggu selepas dua letupan bom berlaku berhampiran sebuah hotel di Damsyik yang menjadi tempat penginapan Presiden Perancis Emmanuel Macron, sekali gus membayangi lawatan pertama seorang ketua negara Kesatuan Eropah (EU) ke Syria sejak Encik Assad digulingkan.

Pemerintah pimpinan Encik Sharaa sedang berusaha untuk membina semula hubungan antarabangsa dan memulihkan ekonomi Syria selepas hampir 14 tahun perang serta berdekad-dekad terasing di bawah pemerintahan keluarga Encik Assad.

Bagaimanapun, tempoh peralihan itu dicemari dua kejadian besar melibatkan keganasan berunsur mazhab yang menguji janji yang dibuat Encik Sharaa berulang kali untuk melindungi golongan minoriti dari segi agama di negara itu.

Hampir 1,500 penduduk daripada masyarakat Alawi - mazhab yang dianuti Encik Assad - terbunuh di kawasan pesisir Syria tahun lalu akibat serangan kumpulan yang berpihak kepada pemerintah. Beberapa bulan kemudian, ratusan lagi rakyat Syria daripada minoriti Druze terbunuh di bahagian selatan negara itu.

Encik Guterres menyuarakan kebimbangan terhadap kedua-dua kejadian tersebut dan menggesa supaya pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Encik Sharaa, yang memutuskan hubungan dengan Al-Qaeda pada 2016, mengetuai pakatan kumpulan pemberontak Islamis yang menggulingkan Encik Assad menerusi serangan kilat pada Disember 2024.

Sejak mengambil alih tampuk kekuasaan, pemerintahnya berusaha memulihkan hubungan diplomatik Syria dengan negara-negara lain, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sekutu lama Encik Assad, iaitu Rusia dan Iran.

Tahun lalu, Encik Sharaa menjadi presiden Syria pertama sejak 1967 yang menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York.

Amerika Syarikat turut menarik balik sebahagian besar sekatan terhadap Syria, manakala Presiden Donald Trump memaklumkan kepada Encik Sharaa pada awal Julai bahawa beliau berhasrat untuk mengeluarkan Syria daripada senarai negara yang menurut Washington menyokong pengganasan.

Encik Guterres dijadual menyampaikan ucapan di parlimen baharu Syria pada Isnin dan melawat pasukan pengaman PBB yang sekian lama mengawasi zon penampan antara tentera Israel dengan Syria, kata Encik Dujarric.

Tentera Israel menguasai beberapa kawasan baharu di selatan Syria selepas Encik Assad digulingkan.

Damsyik menuntut supaya Israel berundur dan kembali mematuhi Perjanjian Pemisahan 1974.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita