Skip to main content

Dunia

Guterres harap PBB pimpin dunia ke arah masa depan lebih aman

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyuarakan harapan agar badan dunia itu dapat memimpin dunia ke arah masa depan yang lebih sihat dan aman.

Anggaran Waktu Membaca:
Guterres harap PBB pimpin dunia ke arah masa depan lebih aman

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres. (Gambar fail: REUTERS)

Diterbitkan : 10 Sep 2026 09:06AM
  • Antonio Guterres menyuarakan harapan agar PBB dapat memimpin dunia ke arah masa depan yang lebih sihat dan aman sempena sesi terakhir beliau sebagai Setiausaha Agung.
  • Sesi ke-81 Perhimpunan Agung PBB bermula di New York pada 8 September, dengan Khalilur Rahman dari Bangladesh sebagai presiden baharu.
  • Antara agenda utama ialah proses pemilihan Setiausaha Agung PBB ke-10, yang bermula sejak sesi ke-80 dan kini diteruskan oleh presiden baharu.
  • PBB masih berdepan cabaran kewangan akibat kelewatan pembayaran sumbangan oleh negara anggota, memberi kesan kepada operasi badan dunia itu.
Dijana oleh AI
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyuarakan harapan agar badan dunia itu dapat memimpin dunia ke arah masa depan yang lebih sihat dan aman.

Beliau berkata demikian sempena bermulanya sesi terakhir Perhimpunan Agung PBB sepanjang tempoh beliau memegang jawatan, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Ketika saya menyertai sesi ke-81 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) buat kali terakhir sebagai Setiausaha Agung, saya menaruh harapan besar untuk masa depan yang lebih baik, sihat dan aman hasil usaha yang dilaksanakan di sini," tulis Encik Guterres menerusi platform media sosial X.

Setiausaha Agung yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatannya itu menyifatkan Perhimpunan Agung sebagai "tempat di mana masalah dunia yang paling sukar dan membawa kesan besar ditangani secara langsung", sambil menyatakan sokongan kepada Presiden sesi baharu, Menteri Luar Bangladesh Khalilur Rahman.

Sesi ke-81 Perhimpunan Agung PBB dibuka secara rasmi di New York pada Selasa (8 Sep).

Seperti kelaziman, minggu peringkat tinggi akan diadakan sebagai sebahagian daripada Perhimpunan Agung, dengan Perbahasan Umum berlangsung dari 22 hingga 26 September dan pada 28 September.

Antara acara utama sesi ke-81 ialah penyempurnaan proses pemilihan Setiausaha Agung PBB yang baharu.

Proses itu bermula pada sesi ke-80 dan tanggungjawab berkenaan kini beralih kepada presiden baharu.

Menyusuli syor Majlis Keselamatan, Perhimpunan Agung perlu melantik Setiausaha Agung PBB ke-10.

Sesi baharu tersebut bermula sedang PBB terus berdepan kesukaran kewangan menyusuli kelewatan negara-negara anggota membayar sumbangan masing-masing.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita