Skip to main content

Dunia

Guterres gesa dunia kawal selia AI, tamatkan perang dan tangani perubahan iklim

Anggaran Waktu Membaca:
Guterres gesa dunia kawal selia AI, tamatkan perang dan tangani perubahan iklim

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berucap di Perhimpunan Agung PBB ke-81 di ibu pejabat PBB di New York City, Amerika Syarikat, pada 22 September 2026. (Gambarf Reuters/Shannon Stapleton)

Diterbitkan : 23 Sep 2026 12:40AM
  • Antonio Guterres menggunakan ucapan terakhirnya di Perhimpunan Agung PBB pada 22 Sep di New York untuk menyeru pemimpin dunia menangani AI, perang, iklim dan reformasi institusi.
  • Beliau meminta negara peneraju teknologi berkongsi maklumat risiko AI, menjalankan ujian bersama dan membina rangka kerja pelbagai hala dengan pengawasan bebas.
  • Guterres turut mempertahankan huraian dua negara Israel-Palestin, menuntut akauntabiliti pencemar iklim, serta menyeru pengurangan ketegangan, dialog dan bantuan kemanusiaan di Timur Tengah.
  • Menjelang tamat penggalnya pada 31 Disember, beliau berkata sistem PBB semakin tertekan dan perlu mencerminkan cabaran semasa, sambil berjanji terus memperjuangkan keamanan.
Dijana oleh AI

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres menerusi ucapan terakhirnya di Perhimpunan Agung PBB pada Selasa (22 Sep) menggesa para pemimpin dunia supaya mengawal selia kecerdasan buatan (AI), menamatkan peperangan, memberi tumpuan kepada perubahan iklim dan merombak institusi PBB yang menurutnya menghadapi kesukaran dalam menangani cabaran global yang semakin meningkat.

Mantan perdana menteri Portugal itu, yang penggal lima tahun keduanya bakal berakhir pada 31 Disember, mengulangi gesaannya agar risiko AI diawasi di peringkat global, ketika Majlis Keselamatan PBB yang mempunyai 15 anggota itu bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah taklimat bersama para pemimpin AI mengenai teknologi berkuasa itu.

Para perwakilan memberikan tepukan gemuruh apabila Encik Guterres mempertahankan huraian dua negara bagi Israel dan Palestin, menuntut "pencemar mesti dipertangungjawabkan" bagi perubahan iklim dan menggesa pembaharuan institusi antarabangsa.

"Negara-negara yang menerajui revolusi teknologi ini mesti berkongsi maklumat mengenai risiko keselamatan yang muncul, bekerjasama dalam ujian dan penilaian - serta berusaha ke arah perlindungan bersama yang melindungi kita semua," kata Encik Guterres.

Beliau menggesa para pemimpin yang berhimpun di New York supaya "memajukan syarat-syarat bagi pembangunan AI yang bertanggungjawab dan perlindungan tambahan yang diperlukan untuk menangani risiko" serta "berusaha ke arah rangka kerja pelbagai hala bagi pengurusan risiko AI, yang disokong pengawasan yang berwibawa dan bebas".

Mengenai Timur Tengah, di mana konflik semakin meluas apabila kemaraan Houthi di sepanjang pantai Laut Merah mengancam laluan perkapalan dan ketegangan berterusan di Selat Hormuz, beliau menggesa "pengurangan ketegangan dan dialog".

"Marilah kita bersama-sama menghantar mesej jelas dari dewan ini: Pertempuran mesti dihentikan. Bantuan kemanusiaan mesti disalurkan. Dan hak serta kebebasan pelayaran mesti dipulihkan sepenuhnya selaras dengan undang-undang antarabangsa," kata Encik Guterres.

Mengenai sistem PBB, Encik Guterres berkata, "mekanisme kita untuk tindakan bersama semakin tertekan" dan institusi global "terus mencerminkan realiti kuasa dan kepentingan zaman yang sebahagian besarnya telah berlalu".

Encik Guterres menggunakan ucapan itu untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kebanyakan pemimpin global yang telah bekerjasama dengannya sepanjang sedekad yang lalu.

"Justeru, pada 1 Januari, apabila saya bukan lagi setiausaha agung, pastikan perkara ini. Di mana sahaja saya berada, apa sahaja yang saya lakukan - saya akan terus memperjuangkan keyakinan bahawa keamanan itu boleh dicapai," katanya. "Saya akan terus mempertahankan nilai-nilai Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan saya tidak akan pernah, sama sekali, berputus asa. Terima kasih."

Sumber : Reuters/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita