Guru tumbuk pelajar kerana lempar kata-kata berbaur perkauman
Seorang guru sekolah tinggi di California, Amerika Syarikat menghadapi tuduhan kerana menumbuk seorang pelajar yang melemparkan kata-kata kesat berbaur perkauman terhadapnya dalam satu insiden yang menurut ramai pelajar dan kakitangan, adalah wajar.

Petikan skrin video yang menunjukkan seorang guru sekolah tinggi di California menumbuk seorang pelajar.
LOS ANGELES: Seorang guru sekolah tinggi di California, Amerika Syarikat menghadapi tuduhan kerana menumbuk seorang pelajar yang melemparkan kata-kata kesat berbaur perkauman terhadapnya dalam satu insiden yang menurut ramai pelajar dan kakitangan, adalah wajar.
Dalam insiden yang berlaku pada Jumaat (2 Nov) di Sekolah Tinggi Akademi Maywood, Marston Riley, seorang guru muzik, menegur seorang pelajar berusia 14 tahun kerana tidak memakai uniform lengkap.
Insiden itu bertukar ganas apabila pelajar berkenaan enggan meninggalkan kelas setelah diarahkan berbuat demikian. Malah, pelajar itu turut melemparkan kata-kata kesat berbaur perkauman terhadap Riley yang berkulit hitam.
Menurut seorang saksi, pelajar berkenaan turut membaling bola keranjang ke arah gurunya.
Guru berusia 64 tahun itu kemudian dirakam menumbuk pelajar itu berulang kali sebelum seorang pegawal keselamatan sekolah dan para pelajar lain campur tangan.
Pelajar tersebut dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan kemudian dibenarkan pulang, sementara Riley pula ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak.
Riley kemudian dibebaskan setelah membayar ikat jamin dan dijadual hadir ke mahkamah pada 30 November.
Menyusuli insiden itu, ramai ibu bapa tampil menyokong Riley kerana perbuatan biadab pelajar tersebut melampaui batas. Namun, ada juga yang mengecamnya kerana bertindak ganas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.