Skip to main content

Dunia

Guru tadika dipenjara kerana cucuk kanak-kanak dengan jarum

Seorang guru tadika di China hari ini (28 Dis) dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan kerana mendera kanak-kanak dengan menggunakan jarum, menurut mahkamah Beijing. 

Anggaran Waktu Membaca:
Guru tadika dipenjara kerana cucuk kanak-kanak dengan jarum

Kawasan di luar tadika RYB Education New World di Beijing. (Gambar: Nicolas Asfouri/AFP)

Diterbitkan : 28 Dec 2018 10:43PM Dikemas Kini : 28 Dec 2018 10:51PM

BEIJING: Seorang guru tadika di China hari ini (28 Dis) dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan kerana mendera kanak-kanak dengan menggunakan jarum, menurut mahkamah Beijing. Ia mencetuskan perdebatan hangat di kalangan warga siber yang menganggap hukuman itu terlalu singkat.

Liu Yanan, seorang bekas guru tadika RYB Education New World, mencucuk empat kanak-kanak menggunakan jarum pada November 2017, menurut Mahkamah Chaoyang di Beijing. Kejadian berkenaan sekaligus mencetuskan kemarahan di kalangan rakyat negara itu.

Siasatan yang dijalankan terhadap tadika itu mula dijalankan setelah para ibu bapa mendapati kesan-kesan cucukan jarum pada anak-anak mereka yang menghadiri tadika dwibahasa Mandarin-Inggeris tersebut. Selain itu, terdapat juga dakwaan bahawa kanak-kanak berkenaan disuruh mengambil ubat-ubatan yang tidak dikenal pasti.

"Kelakuan wanita itu merosakkan dengan serius kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak tersebut," menurut mahkamah itu dalam satu kenyataan sambil menambah bahawa penderaan tersebut tidak meninggalkan kecederaan berpanjangan.

Liu juga diharamkan daripada bekerja dengan golongan bawah umur selama lima tahun setelah menjalani hukuman penjarannya.

RYB Education, sebuah syarikat tersenarai New York yang mengendalikan rangkaian tadika, meminta maaf atas insiden itu. Ia juga menegaskan menerusi akaun media sosial rasminya bahawa penderaan itu dilakukan oleh seorang individu.

Bagaimanapun, ramai pengguna media sosial mengecam tempoh hukuman penjara itu, dengan sebahagian besar daripada mereka berasa marah kerana tiada pegawai dihukum.

Tiga pegawai pendidikan Beijing sedang disiasat atas 'kekurangan penyeliaan' tetapi kes itu tidak menunjukkan sebarang kemajuan.

Insiden berkenaan menyebabkan Majlis Negara, iaitu badan pentadbiran utama China, untuk menyeru agar siasatan 'segera' dijalankan terhadap semua tadika di merata negara itu.

RYB Education memiliki sekitar 500 tadika dan hampir 1,300 pusat pembelajaran di merata China bagi kanak-kanak yang berusia sehingga enam tahun, menurut lamannya.  

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita