Guru sains diberkas suntik vaksin pada pelajar tanpa izin ibu bapa
Seorang guru sekolah di New York yang tidak mempunyai kelayakan perubatan rasmi diberkas kerana dipercayai memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada seorang pelajar, lapor BBC yang menukil pihak berkuasa tempatan.
(Gambar: AFP)
NEW YORK: Seorang guru sekolah di New York yang tidak mempunyai kelayakan perubatan rasmi diberkas kerana dipercayai memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada seorang pelajar, lapor BBC yang menukil pihak berkuasa tempatan.
Menurut polis, Laura Russo memberikan dos vaksin tersebut di rumahnya walaupun tidak mempunyai kebenaran yang sah di sisi undang-undang untuk menyuntik vaksin mahupun persetujuan daripada ibu bapa remaja lelaki berkenaan.
Cik Russo, 54 tahun, seorang guru biologi, ditangkap pada malam Tahun Baru dan boleh dihukum penjara empat tahun jika didapati bersalah.
Remaja lelaki berusia 17 tahun itu didakwa mahu mendapatkan vaksin tersebut.
Suntikan adalah berbahaya jika tidak dilakukan dengan betul. Doktor dan pekerja perubatan berlesen perlu mengesahkan vaksin bagi memastikan ia bukan tiruan atau sudah melepasi tarikh luputnya. Pesakit juga harus ditanya tentang sejarah perubatan mereka dan tindak balas mereka perlu dipantau selepas mendapatkan suntikan.
Polis menyatakan tidak jelas bagaimana Cik Russo memperolehi vaksin yang didakwa bagi COVID-19 itu ataupun apakah jenamanya, lapor BBC. Buat masa ini, vaksin Pfizer-BioNTech adalah satu-satunya vaksin yang diluluskan untuk kegunaan warga Amerika Syarikat yang berusia bawah 18 tahun.
Video insiden yang berlaku di Long Island itu kelihatan menunjukkan Cik Russo memberitahu remaja berkenaan: "Anda akan baik-baik saja, saya harap."
Menurut pihak berkuasa, ibu bapa remaja itu menghubungi polis setelah anak mereka pulang dan memberitahu mereka apa yang berlaku.
"Dia sudah memperolehi vaksin," kata Pesuruhjaya Polis Nassau Patrick Ryder. "Ia masih dalam siasatan bagaimana dia memperolehinya."
Superintenden Sekolah Tinggi Herricks, tempat di mana Cik Russo mengajar, berkata dalam satu kenyataan bahawa guru itu "adalah seorang pekerja daerah yang sudahpun digugurkan daripada mengajar di bilik darjah dan ditugaskan semula sementara menanti hasil siasatan", lapor CBS News, rakan kongsi BBC di Amerika Syarikat.
Cik Russo didakwa dengan amalan tanpa kebenaran yang diluluskan bagi sesuatu kerjaya.
Perbicaraan mahkamah bagi kes itu dijadualkan pada 21 Januari, menurut BBC.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.