Skip to main content

Dunia

Guru dihukum penjara 10 tahun sebab tekan dada murid dan rotan tiga kanak-kanak di sebuah pusat pendidikan GISBH

Anggaran Waktu Membaca:
Guru dihukum penjara 10 tahun sebab tekan dada murid dan rotan tiga kanak-kanak di sebuah pusat pendidikan GISBH

Ibu pejabat GISBH di Rawang, negeri Selangor, pada 19 Sep 2024. (Gambar: AP/Vincent Thian)

KLANG: Tindakan seorang guru menekan dada murid menggunakan lutut dan merotan tiga kanak-kanak di sebuah pusat pendidikan dan kebajikan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengundang padah apabila Mahkamah Sesyen di Klang pada Khamis (26 Sep), menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun.

Muhammad Barur Rahim Hisam, 23, yang memakai baju T berwarna merah dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Noridah Adam.

"Saya mengaku bersalah puan," katanya dalam nada perlahan sambil menundukkan kepala, seperti dinukil laporan Sinar Harian.

Mahkamah memerintahkan dia menjalani hukuman bermula tarikh tangkapan.

Mengikut tiga pertuduhan, dia didakwa sebagai seorang yang mempunyai hak pemeliharaan terhadap tiga kanak-kanak lelaki berusia 10 dan 11 tahun, telah menganiaya dengan merotan semua mangsa, yang mungkin menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.

Bagi pertuduhan keempat pula, dia didakwa menganiaya seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dengan menekan dada menggunakan lutut, yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di pusat GISBH Bukit Raja di Klang, antara Jun hingga beberapa minggu lalu.

Semua kes dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 (S$15, 600) atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, lelaki bujang yang tidak diwakili peguam itu, merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana mengaku insaf.

"Saya benar-benar tekad dan berazam tidak akan mengulangi kesalahan sama lagi.

"Saya perlu menanggung ibu bapa, jadi kalau boleh saya mohon ringankan hukuman," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh berkata, tertuduh sepatutnya menjaga kebajikan semua mangsa namun tindakannya menganiaya kanak-kanak itu, adalah melampau.

"Mangsa ini masih bersekolah, namun akibat perbuatan tertuduh, ia menyebabkan mereka mengalami trauma untuk meneruskan pendidikan di mana-mana sekolah, kerana kejadian ini akan kekal menghantui mereka.

"Kami mohon hukuman berjalan secara berasingan dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi keperluan tertuduh," katanya.

Pada 16 September lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan berhubung rakaman video memaparkan beberapa kanak-kanak lelaki dipercayai didera.

Polis juga telah mengesan kanak-kanak lelaki terbabit dalam kalangan mangsa yang berjaya diselamatkan sebelum ini yang dipisahkan dengan bapanya sejak 2021, lapor Sinar Harian.

Terdahulu, satu rakaman video satu minit sembilan saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki didakwa didera itu tular di media sosial, baru-baru ini.

Dalam rakaman video itu, kanak-kanak lelaki terbabit dilihat mengerang kesakitan ketika disoal beberapa kali oleh seorang lelaki dewasa.
Sumber : Agensi berita/AA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita