Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Guru besar remaja Ireland yang meninggal dunia di M'sia kata beliau alami ketidakupayaan

Guru besar Nora Anne Quoirin pada Rabu (18 Nov) memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa remaja itu mempunyai masalah ketakupayaan dari segi fizikal dan pembelajaran sepanjang tempoh empat tahun beliau bergelar pelajar di Garratt Park School, London.

Anggaran Waktu Membaca:
Guru besar remaja Ireland yang meninggal dunia di M'sia kata beliau alami ketidakupayaan

Nora Anne Quoirin. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 19 Nov 2020 10:52AM Dikemas Kini : 19 Nov 2020 10:55AM

SEREMBAN: Guru besar Nora Anne Quoirin pada Rabu (18 Nov) memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa remaja itu mempunyai masalah ketakupayaan dari segi fizikal dan pembelajaran sepanjang tempoh empat tahun beliau bergelar pelajar di Garratt Park School, London.

Encik Michael Revees, 59, berkata Nora Anne memulakan pembelajarannya pada September 2015 dan semasa penilaian pertama dibuat, remaja warga Ireland-Perancis itu didapati memiliki postur dalaman dan keseimbangan badan yang lemah serta kebolehan berbahasa yang terhad.

Beliau berkata oleh itu, Nora Anne tidak mampu menulis dengan baik serta memperbaiki ayat dan dia hanya boleh mengikut arahan yang mudah selain tidak akan berbual dengan individu tidak dikenali.

“Dia tidak percaya kepada orang lain dan kadang-kadang dia berdepan masalah (dengan keadaan ini) … ada kalanya dia sentiasa ceria serta tahu apa yang betul dan apa yang salah.

“Dia juga sukar untuk mengambil bahagian dalam sebarang program dan tidak boleh berlari kerana takut akan jatuh,” katanya.

Encik Revees, yang merupakan saksi ke-37 dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Nora Anne, berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari ke-17 di hadapan Koroner Maimoonah Aid.

Prosiding pada Rabu (18 Nov) berlangsung secara dalam talian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Ditanya peguam keluarga Nora Anne, Louise Azmi, jika beliau mempunyai sebarang pendapat mengenai apa yang berlaku kepada Nora Anne yang didakwa mungkin memanjat tingkap chalet untuk keluar semasa dia dan keluarganya bercuti di Malaysia pada Ogos tahun lepas, Encik Revees berkata perkara itu adalah sesuatu yang sukar dibayangkannya.

“Tidak... saya tidak percaya dia boleh berbuat demikian. Saya tidak dapat bayangkan dia mempunyai kemahiran, keseimbangan atau kekuatan memanjat tingkap itu untuk keluar,” kata guru besar yang berkhidmat di Garratt Park School sejak 2006.

Ditanya sama ada remaja itu boleh berjalan di kawasan tebing yang berbatu, Encik Reeves berkata: ”Dia akan berasa sukar untuk berbuat demikian meskipun dalam jarak yang dekat… ia amat sukar dilakukan.”

Menjawab soalan Cik Maimoonah berhubung prestasi Nora Anne sepanjang tempoh empat tahun dia belajar di sekolah itu, Encik Revees berkata remaja tersebut hanya menunjukkan sedikit kemajuan.

Nora Anne, 15, dilaporkan hilang pada 4 Ogos tahun lalu, sehari selepas dia dan keluarganya tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Kuala Lumpur.

Mayat remaja itu ditemukan sembilan hari kemudian pada 13 Ogos berhampiran sebatang anak sungai di kawasan berbukit kira-kira 2.5 kilometer dari pusat peranginan tersebut susulan operasi mencari secara besar-besaran oleh pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menunjukkan tidak ada unsur jenayah dalam kematian Nora Anne dan remaja itu meninggal dunia akibat pendarahan gastrousus susulan tekanan berpanjangan serta kebuluran.

Prosiding ditangguhkan sehingga 23 Nov depan. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan