Skip to main content

Dunia

Gunung Sinabung meletus lagi, 615 penduduk dipindahkan

Anggaran Waktu Membaca:
Gunung Sinabung meletus lagi, 615 penduduk dipindahkan

Gunung Sinabung memuntahkan abu ke udara ketika letusan di Karo, Sumatera Utara, Indonesia. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 04:30PM
JAKARTA: Gunung Sinabung di wilayah Sumatera Utara, Indonesia meletus lagi pada pagi Rabu (2 Sep) ketika lebih 600 penduduk dipindahkan menyusuli peningkatan aktiviti gunung berapi.

Menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia, letusan bermula pada 7.20 pagi waktu tempatan dengan lajur abu menjulang sekitar 1,000 meter dari puncak atau sekitar 3,460 meter dari aras laut.

“Lajur abu dilihat berwarna kelabu hingga perang, tebal dan bergerak ke arah timur serta tenggara. Ketika laporan ini disediakan, letusan masih berlaku,” menurut laporan itu.

Tahap aktiviti Sinabung dinaikkan daripada Tahap II (Waspada) kepada Tahap III (Siaga) pada 12.30 tengah hari Isnin selepas pemantauan visual dan menggunakan instrumen menunjukkan peningkatan aktiviti gunung berapi.

Peningkatan tahap amaran itu dibuat menyusuli letusan pada awal hari berkenaan yang memuntahkan abu sekitar 3.5 kilometer dari puncak atau sekitar 5.96 kilometer dari aras laut, dengan pihak berkuasa memberi amaran bahawa aktiviti gunung berapi berkemungkinan terus meningkat.

Berikutan peningkatan aktiviti itu, Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia pada Rabu menyatakan seramai 615 penduduk daripada 211 keluarga di Kuta Tengah sudah dipindahkan ke pos respons kecemasan, dengan kampung berkenaan antara kawasan yang dikenal pasti berisiko berhampiran gunung berapi itu.

Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Kebencanaan BNPB Berton Panjaitan berkata zon bahaya diperluas berdasarkan saranan Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia.

“Penduduk dan pengunjung tidak dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti di kawasan kampung yang telah dikosongkan, dalam lingkungan tiga kilometer dari puncak serta sehingga enam kilometer ke arah tenggara,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Orang ramai yang berada atau menuju ke Kabupaten Karo digesa supaya terus berwaspada, mengelakkan kawasan sekitar Gunung Sinabung dan mematuhi arahan pihak berkuasa Indonesia.
Sumber : Bernama/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita