Gunung Semeru meletus, abu cecah 1,000 meter di atas puncak
Gunung Semeru di sempadan Kabupaten Lumajang dan Malang, Jawa Timur, meletus pada pagi Ahad (6 Sep), dengan abu mencecah sekitar 1,000 meter di atas puncak Mahameru.
Gunung Semeru meletus dengan abu mencecah sekitar 1,000 meter di atas puncak Mahameru pada Ahad (6 Sep). (Gambar: ANTARA/HO-PVMBG)
- Gunung Semeru di Jawa Timur meletus pada pagi Ahad, dengan abu mencapai 1,000 meter di atas puncak dan status dinaikkan ke tahap Siaga.
- Penduduk di sekitar diingatkan supaya menjauhi kawasan berbahaya, termasuk sektor Besuk Kobokan dan kawasan dalam lima kilometer dari kawah.
- Kebakaran hutan di Gunung Semeru masih belum dipadamkan, melibatkan lebih 3,000 hektar kawasan terbakar menurut TNBTS.
- Laluan pendakian ke Gunung Semeru ditutup akibat kebakaran dan risiko letusan, dengan pihak berkuasa memantau situasi secara berterusan.
Letusan berlaku pada 7.51 pagi waktu tempatan, dengan abu mencecah ketinggian sekitar 4,676 meter dari aras laut.
Petugas Pos Pengamatan Gunung Semeru Sigit Rian Alfian berkata aktiviti gunung berapi itu kini berada pada status tahap III atau Siaga.
Abu berwarna putih hingga kelabu dengan intensiti tebal dilihat bergerak ke arah timur.
Letusan itu turut direkodkan oleh seismograf dengan amplitud maksimum 23 milimeter dan berlangsung selama 102 saat.
PENDUDUK DIINGATKAN JAUHI KAWASAN BERBAHAYA
Dengan status Siaga itu, para penduduk dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di sektor tenggara sepanjang Besuk Kobokan sehingga 13 kilometer dari puncak.
Di luar kawasan tersebut, para penduduk juga tidak dibenarkan melakukan aktiviti dalam lingkungan 500 meter dari tebing sungai sepanjang Besuk Kobokan kerana terdapat risiko awan panas dan aliran lahar sehingga 17 kilometer dari puncak.
Penduduk juga tidak dibenarkan melakukan aktiviti dalam lingkungan lima kilometer dari kawah atau puncak Gunung Semeru berikutan risiko lontaran batu panas.
Mereka turut diminta berwaspada terhadap potensi awan panas, guguran lava dan lahar di sepanjang sungai atau lembah yang berpunca dari puncak Gunung Semeru.
Ini termasuk Besuk Kobokan, Besuk Bang, Besuk Kembar dan Besuk Sat serta sungai-sungai kecil yang merupakan anak sungai Besuk Kobokan.
KEBAKARAN HUTAN LEBIH 3,000 HEKTAR
Letusan itu berlaku ketika kebakaran hutan di Gunung Semeru masih belum dapat dipadamkan sehingga pagi Ahad, dengan kawasan kebakaran dilaporkan semakin meluas.
Menurut data Taman Nasional Bromo Tengger Semeru (TNBTS), lebih 3,000 hektar hutan sudah terbakar.
Laluan pendakian ke Gunung Semeru, gunung tertinggi di Pulau Jawa, juga sudah ditutup akibat kebakaran hutan dan tanah di lereng gunung tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.