Skip to main content

Dunia

Gunung Semeru meletus 5 kali, kekal pada Amaran Tahap 3

Anggaran Waktu Membaca:
Gunung Semeru meletus 5 kali, kekal pada Amaran Tahap 3
Gunung Semeru meletus, menyemburkan kepulan asap dan abu setinggi 700 meter dari puncaknya pada pagi 8 Januari 2026. (Gambar: ANTARA/HO-PVMBG)
Diterbitkan : 14 Feb 2026 11:27AM Dikemas Kini : 14 Feb 2026 11:28AM
JAKARTA: Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia meletus sebanyak lima kali pada Jumaat (13 Feb), sehingga mencetuskan aliran piroklas sejauh 3,000 meter, menurut pihak berkuasa.

Pegawai Pos Pemerhatian Gunung Semeru, Sigit Rian Alfian berkata gunung berapi yang terletak di sempadan daerah Lumajang dan Malang itu kekal pada status Amaran (Tahap 3) menyusuli siri letusan yang bermula pada pukul 7.42 pagi waktu tempatan, lapor agensi berita ANTARA.

Beliau berkata tiga letusan pertama berlaku pada pukul 7.42 pagi, 10.56 pagi dan 12.46 tengah hari, yang masing-masing menghamburkan kepulan asap setinggi kira-kira 1,000 meter di atas puncak, dengan aliran piroklas bergerak sejauh 3,000 meter ke arah tenggara semasa letusan kedua.

Encik Sigit berkata gunung berapi itu meletus sekali lagi pada pukul 2.22 petang, menghasilkan kepulan letusan setinggi 800 meter di atas puncak dan aliran piroklas sejauh 2,500 meter ke arah tenggara.

"Aliran piroklas berlaku sekali lagi semasa letusan kelima pada pukul 2.31 petang dengan jarak luncuran kira-kira 2,500 meter ke arah tenggara, atau Besuk Kobokan," katanya.

Beliau menggesa orang ramai supaya mematuhi saranan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) dan menasihatkan mereka agar tidak melakukan sebarang aktiviti di sektor tenggara sepanjang Besuk Kobokan dalam radius 13 kilometer dari puncak.

Para penduduk juga diminta supaya sentiasa berwaspada terhadap potensi aliran piroklas, runtuhan lava, dan aliran lahar di sepanjang saluran sungai dan lembah yang berpunca dari puncak Gunung Semeru, terutamanya di sepanjang Besuk Kobokan, Besuk Bang, Besuk Kembar, dan Besuk Sat, serta potensi aliran lahar di anak sungai kecil yang bersambung dengan Besuk Kobokan.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita