Skip to main content

Dunia

Gunung Semeru meletus 2 kali dengan abu setinggi 700m

Anggaran Waktu Membaca:
Gunung Semeru meletus 2 kali dengan abu setinggi 700m
Orang ramai dilarang menjalankan sebarang aktiviti dalam radius lima kilometer dari kawah atau puncak Gunung Semeru (gambar) kerana risiko lontaran batu. (Gambar fail: REUTERS)
Diterbitkan : 30 Jan 2026 09:25AM
LUMAJANG: Gunung Semeru di Indonesia, yang terletak di sempadan daerah Lumajang dan Malang di Jawa Timur, meletus pada pagi Khamis (29 Jan) dengan memuntahkan abu setinggi 700 meter dari puncaknya, lapor Agensi Berita Antara.

“Gunung Semeru meletus pada Khamis pada 7.20 pagi (waktu tempatan). Letusan abu yang diperhatikan mencapai kira-kira 700 meter di atas puncak, atau 4,376 meter dari aras laut,” kata pegawai Pos Pemerhatian Gunung Semeru, Mukdas Sofian.

Beliau berkata abu tebal itu berwarna putih ke kelabu dan bergerak ke arah tenggara.

Letusan direkodkan pada seismograf dengan amplitud maksimum 22 milimeter dan tempoh 115 saat.

Letusan itu menyusuli letusan awal pada 4.47 pagi (waktu tempatan) yang menghasilkan abu setinggi 500 meter dan berlangsung selama 123 saat dengan amplitud 20 milimeter.

Gunung Semeru kini berada pada Tahap Amaran III. Sehubungan itu, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) melarang semua aktiviti di sektor tenggara sepanjang Besuk Kobokan dalam lingkungan 13 kilometer dari puncak.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan agar menjauhi tebing sungai di sepanjang Besuk Kobokan sekurang-kurangnya 500 meter berikutan risiko aliran awan panas dan aliran lahar yang boleh mencapai sehingga 17 kilometer dari puncak.

“Orang ramai juga dilarang menjalankan sebarang aktiviti dalam radius lima kilometer dari kawah atau puncak Gunung Semeru kerana risiko lontaran batu,” katanya lagi.

Di samping itu, orang ramai diminta sentiasa berwaspada terhadap risiko aliran awan panas dan aliran lahar di sepanjang sungai serta lembah yang berpunca dari puncak Gunung Semeru, khususnya Besuk Kobokan, Besuk Bang, Besuk Kembar dan Besuk Sat, serta kemungkinan berlakunya lahar di sungai-sungai kecil yang mengalir ke Besuk Kobokan.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita