Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gunung Ruang meletus lagi, 9,083 penduduk dipindahkan

"Pemindahan ini berlaku secara berperingkat dari 30 April ke 2 Mei dan dijangka selesai dalam tiga hari," kata Ketua Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia.

Anggaran Waktu Membaca:
Gunung Ruang meletus lagi, 9,083 penduduk dipindahkan

Penduduk menaiki kapal tentera laut Indonesia meninggalkan Pulau Tagulandang di Sitaro, Sulawesi Utara dengan kepulan asap dilihat di Gunung Ruang. (Gambar: AFP)

JAKARTA: Pemerintah Indonesia memindahkan 9,083 penduduk dari Pulau Tagulandang, dekat Gunung Ruang di Sulawesi Utara yang meletus, ke tempat yang lebih selamat.

Ketua Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia  Lt Jen Suharyanto berkata  3,364 penduduk telah dipindahkan sementara 5,719 lagi sedang dipindahkan secara berperingkat.

"Pemindahan ini berlaku secara berperingkat dari 30 April ke 2 Mei dan dijangka selesai dalam tiga hari,” kata Jen Suharyanto dalam satu kenyataan pada Jumaat (3 Mei).

Pulau Tagulandang terletak berhampiran Pulau Ruang di mana Gunung Ruang berdiri sendiri sebagai sebuah pulau terpisah dalam Daerah Sitaro.

Jen Suharyanto berkata penduduk dipindahkan dengan kapal yang disediakan oleh agensi pemerintah dan swasta termasuk tentera, kastam dan agensi penyelamat. 

Kira-kira lima penempatan sementara telah didirikan di pulau-pulau berhampiran seperti Manado dan Siau, katanya.

Usaha pemindahan penduduk Pulau Tagulandang berikutan nasihat daripada Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana (PVMBG) Indonesia sebagai tindak balas selepas mengenal pasti satu zon berisiko dalam radius tujuh kilometer kawah Gunung Ruang.

Ketua PVMBG  Hendra Gunawan berkata strato-gunung berapi dari segi sejarahnya mengeluarkan awan panas dan melalui beberapa letusan yang memberi kesan langsung kepada manusia dan kehidupan.

Rekod menunjukkan letusan Gunung Ruang dengan ketinggian  725 meter pada 1808 dan kejadian yang ketara berlaku pada 1871 yang mencetuskan gelombang tsunami yang mengorbankan 400 nyawa, katanya.  

Jen Suharyanto berkata pemerintah juga berhasrat untuk memindahkan penduduk secara kekal terutamanya mereka yang menetap di Pulau Ruang. 

Sumber : Bernama/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan