Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gunung Merapi muntahkan lahar dalam letusan terkini

Gunung berapi paling aktif di Indonesia meletus pada Isnin (16 Ogos) dengan meluncurkan aliran lahar terbanyak dalam tempoh beberapa bulan. Lahar dan gas yang dimuntahkannya mengalir turun sejauh 3.5 kilometer dari lerengnya ke pulau Jawa yang padat dengan penduduk. 

Anggaran Waktu Membaca:
Gunung Merapi muntahkan lahar dalam letusan terkini

Lahar panas mengalir dari kawah Gunung Merapi di Sleman, Yogyakarta, Indonesia, pada awal 9 Ogos 2021. (Gambar: Slamet Riyadi/AP Photo)

YOGYAKARTA: Gunung berapi paling aktif di Indonesia meletus pada Isnin (16 Ogos) dengan meluncurkan aliran lahar terbanyak dalam tempoh beberapa bulan. Lahar dan gas yang dimuntahkannya mengalir turun sejauh 3.5 kilometer dari lerengnya ke pulau Jawa yang padat dengan penduduk.

Bunyi gegaran turut kedengaran sejauh beberapa kilometer apabila Gunung Merapi meledak, memancutkan abu panas setinggi 600 meter ke udara. Abu itu menyelubungi bandar-bandar berhampiran namun mujur, arahan pemindahan yang sudah sekian lama ditetapkan dilaksanakan berdekatan gunung berapi itu dan tiada kematian dilaporkan.

Pengaliran lahar itu adalah yang terbesar oleh Gunung Merapi sejak pihak berkuasa menaikkan tahap bahayanya pada November tahun lalu, kata Hanik Humaida, ketua Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi.

Menurut beliau, kawah lahar berada tepat di bawah lingkaran barat daya Merapi dan lava di kawah kedua-duanya aktif sejak hujung Julai.

Isipadu kubah lingkaran barat daya dianggarkan 1.8 juta meter padu dan tingginya kira-kira 3 meter sebelum sebahagiannya runtuh pada pagi Isnin, menyebabkan aliran serpihan bergerak pantas ke arah barat daya sekurang-kurangnya dua kali.

Gunung setinggi 2,968 meter itu berada dekat Yogyakarta, sebuah bandar purba yang menjadi tempat tinggal bagi beberapa ratusan ribu orang dan terletak di kawasan bandar besar di pulau Jawa.

Status amaran Gunung Merapi berada di tahap kedua tertinggi sejak ia mula meletus pada November tahun lalu. Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi tidak menaikkan tahap itu walaupun kegiatan gunung berapi berlaku dengan lebih kerap pada minggu lalu.

Orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi kawasan lima kilometer dari tebing kawah dan berhati-hati akan bahaya lahar, menurut agensi itu.

Gunung Merapi adalah yang paling aktif di antara lebih 120 gunung berapi di Indonesia dan ia telahpun meletus beberapa kali sejak kebelakangan ini, meluncurkan lahar serta gas ke udara. 

Sumber : AP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan