Gunung Merapi muntahkan asap panas dan lahar merah menyala
Gunung Merapi di Indonesia awal pagi tadi (20 Jan) menyemburkan kepulan asap panas yang kemudian menyelubungi antara 700 meter hingga 1,200 meter kawasan barat daya.
Gambar fail Gunung Merapi. (Gambar: Agung Supriyanto/AFP)
YOGYAKARTA: Gunung Merapi di Indonesia awal pagi tadi (20 Jan) menyemburkan kepulan asap panas yang kemudian menyelubungi antara 700 meter hingga 1,200 meter kawasan barat daya.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pusat Kajian dan Pengembangan Teknologi Bencana Geologi, Encik Hanik Humaida berkata gunung itu memuntahkan asap panas sebanyak tiga kali iaitu pada jam 12.59, 05.12 dan 05.35 pagi waktu tempatan.
"Asap panas dikesan pada seismogram dengan bacaan 13-21mm dan berdurasi 116-198 saat (antara 2-3 minit)," kata Encik Hanik.
Selain tiga kali memuntahkan awan panas dalam tempoh enam jam, Merapi juga didapati memuntahkan lahar sebanyak 47 kali.
Pergerakan tektonik atau gempa kecil turut dikesan sebanyak tiga kali buat beberapa minit.
Cuaca di kawasan pergunungan itu bagaimanapun dilaporkan cerah dan berawan. Angin bertiup ke arah barat dengan suhu udara antara 13.6 dengan 26.1 darjah Selsius. Kelembapan udara pula adalah antara 28 dengan 90 peratus sementara bacaan tekanan udara 757.1-944.6 mmHg.
Status Gunung Merapi kini di Tahap Tiga atau 'waspada' dengan potensi bahaya sedang lahar dan kepulan asap dimuntahkan.
Semua kegiatan di alur sungai-sungai yang berhulu di Merapi diarah supaya dihentikan. Pendakian mahupun kegiatan untuk pelancongan juga tidak dibenarkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.