Gunung Merapi meletus, keluarkan lahar
Gunung Merapi di Indonesia, salah sebuah gunung berapi paling aktif di dunia, meletus pada Jumaat (19 Feb), mengeluarkan lahar merah menyala.
(Gambar: AFP/AGUNG SUPRIYANTO)
JAKARTA: Gunung Merapi di Indonesia, salah sebuah gunung berapi paling aktif di dunia, meletus pada Jumaat (19 Feb), mengeluarkan lahar merah menyala.
Gunung berapi itu, berhampiran bandar kebudayaan Indonesia Yogyakarta di pulau Jawa, memuntahkan lahar puluhan kali sejak kelmarin dan mencetuskan ratusan gempa gunung berapi kecil, menurut satu laporan agensi geologi Indonesia.
"Pagi ini, aliran lahar diperhatikan sebanyak tujuh kali," kata agensi itu, dengan lahar mengalir sejauh 700 meter ke arah barat daya.
Bagaimanapun, amaran rasmi mengenai status gunung berapi itu tidak berubah sejak November tahun lalu, pada tahap kedua tertinggi.
Penduduk berhampiran diberitahu agar mengelakkan kawasan dalam lingkungan jarak 5 kilometer dari kawah dan diberi amaran mengenai lahar serta bahan gunung berapi yang dihambur ke udara.
Bulan lalu, gunung berapi itu memuntahkan asap dan abu yang melimpah di lerengnya.
Letusan besar terakhir Gunung Merapi pada 2010 mengorbankan lebih 300 orang dan sekitar 280,000 penduduk terpaksa dipindahkan dari kawasan sekitar.
Ia adalah ledakan paling kuat sejak 1930, apabila sekitar 1,300 orang terbunuh, sementara satu lagi letusan pada 1994 meragut sekitar 60 nyawa.
Negara kepulauan Asia Tenggara itu mempunyai hampir 130 gunung berapi aktif.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.