Gunung Lewotobi Laki-Laki meletus untuk hari kedua berturut-turut, sembur abu setinggi 18km
Gambar yang dikeluarkan oleh Badan Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, menunjukkan lava bercahaya di lereng Gunung Lewotobi Laki-laki semasa letusan di East Flores, Indonesia, pada Jumaat, 1 Ogos 2025. (Gambar: Badan Geologi melalui AP)
Ia menyemburkan abu setinggi 18 kilometer ke udara, sekali gus menyebabkan kampung-kampung berdekatan diselaputi abu itu.
Tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Awal dari itu, letusan pada Jumaat malam menyemburkan awan abu setinggi 10 kilometer.
Kedua-dua letusan berlaku selang kurang lima jam.
Agensi Geologi Indonesia merekodkan aliran awan panas yang mengandungi gas beracun, batu dan lahar menuruni lereng gunung sejauh lima kilometer.
Bahan gunung berapi, termasuk batu kerikil panas sebesar ibu jari, turut dihamburkan sejauh lapan kilometer dari kawah dan menyelaputi kampung berdekatan dengan lapisan tebal abu gunung berapi, menurut agensi tersebut.
Penduduk dinasihatkan supaya berwaspada terhadap hujan lebat yang boleh menyebabkan lahar mengalir ke sungai.
Letusan pada Sabtu itu adalah antara yang terbesar di Indonesia sejak 2010, apabila Gunung Merapi meletus di pulau Jawa.
Letusan itu meragut lebih 350 nyawa dan memaksa ratusan ribu penduduk dipindahkan.
Letusan terbaharu ini juga berlaku kurang sebulan selepas letusan besar pada 7 Julai menyebabkan gangguan penerbangan di Lapangan Terbang Ngurah Rai, Bali, serta menutupi jalan raya dan sawah padi dengan lumpur dan batu-batuan.
Gunung Lewotobi Laki-laki yang mempunyai ketinggian 1,584 meter dan terletak di pulau terpencil Flores, berada pada tahap amaran tertinggi sejak ia meletus pada 18 Jun.
Zon larangan kini digandakan kepada radius tujuh kilometer berikutan peningkatan kekerapan letusan.
Pemerintah Indonesia sudah memindahkan ribuan penduduk secara tetap selepas beberapa letusan di kawasan itu pada November lalu mengorbankan sembilan orang dan memusnahkan ribuan rumah.
Indonesia, negara kepulauan yang mempunyai lebih daripada 280 juta penduduk, sering mengalami kegiatan seismik.
Ia mempunyai 120 gunung berapi aktif dan terletak di sepanjang Lingkaran Gunung Berapi Pasifik.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.