Gunung Lewotobi Laki-laki meletus; awan abu setinggi 11km
Awan abu berkepul-kepul di ruang udara selepas Gunung Lewotobi Laki-laki meletus pada 17 Jun 2025. (Gambar: Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi melalui Reuters)
Agensi tersebut juga memaklumkan bahawa tahap amaran gunung berapi itu dinaikkan ke tahap paling bahaya, dengan amaran kemungkinan berlaku aliran lava sekiranya hujan lebat turun.
Gunung Lewotobi Laki-laki, yang setinggi 1,584 meter dan mempunyai dua puncak di pulau pelancongan Flores, meletus pada pukul 5.35 petang waktu tempatan, menurut kenyataan agensi tersebut.
"Awan abu dilihat berwarna kelabu dan amat tebal," tambah agensi tersebut.
Tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan.
Ketua agensi geologi, Muhammad Wafid, berkata penduduk dan pelancong digalakkan untuk mengelakkan aktiviti dalam radius sekurang-kurangnya 7 km dari kawah gunung berapi itu.
Khususnya bagi masyarakat berhampiran sungai, banjir lahar berbahaya mungkin berlaku — iaitu aliran lumpur atau serpihan bahan gunung berapi — sekiranya hujan lebat berlaku, kata beliau.
Beliau juga menggesa para penduduk agar memakai pelitup bagi melindungi diri daripada abu gunung berapi.
Pada November tahun lalu, gunung berapi ini meletus beberapa kali, menyebabkan sembilan orang maut dan memaksa ribuan penduduk berpindah.
Beberapa penerbangan antarabangsa ke Bali juga dibatalkan.
Tiada laporan segera mengenai penerbangan yang dibatalkan selepas letusan pada Selasa.
Indonesia kerap mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi kerana kedudukannya di Lingkaran Gunung Berapi Pasifik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.