Skip to main content

Dunia

Gunung Kinabalu alami pembekuan ais di puncak

Anggaran Waktu Membaca:
Gunung Kinabalu alami pembekuan ais di puncak

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 17 Apr 2026 01:38PM Dikemas Kini : 17 Apr 2026 01:39PM
  • Taman-Taman Sabah memantau fenomena pembekuan ais di substesen Panalaban, Gunung Kinabalu pada 16 April akibat cuaca kering dan suhu rendah.
  • Pembekuan ais berlaku di altitud tinggi, terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi, dan dianggap fenomena semula jadi berkala.
  • Pendaki, malim gunung, porter dan petugas dinasihatkan memakai pakaian sesuai, kekal hidrasi dan patuhi arahan keselamatan.
  • Taman-Taman Sabah akan terus memantau cuaca serta suhu untuk memastikan keselamatan semua pengunjung dan petugas terjamin.
Dijana oleh AI
KOTA KINABALU: Taman-Taman Sabah memantau kejadian pembekuan ais di kawasan substesen Panalaban Taman Kinabalu pada ketinggian kira-kira 3,272.7 meter dari aras laut, yang direkodkan pada Khamis malam (16 Apr), di wilayah Malaysia Timur itu. 

Taman-Taman Sabah menerusi kenyataan memaklumkan, fenomena itu berlaku menyusuli keadaan cuaca kering dan kelembapan udara yang rendah di kawasan Gunung Kinabalu sepanjang minggu ini.

“Keadaan itu menyebabkan penurunan suhu yang ketara di kawasan altitud tinggi, lalu mengakibatkan pembentukan ais pada permukaan tumbuhan dan persekitaran base camp (khemah induk) Panalaban,” menurut kenyataan itu hari ini.

Taman-Taman Sabah menjelaskan pembekuan ais merupakan fenomena semula jadi yang lazim berlaku secara berkala di kawasan altitud tinggi Gunung Kinabalu.

Fenomena itu juga berlaku terutamanya ketika cuaca cerah, kering, dan suhu menurun dengan ketara pada waktu malam hingga awal pagi, tambah kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, Taman-Taman Sabah menasihatkan pendaki, malim gunung, porter dan petugas di kawasan Panalaban supaya memakai pakaian yang bersesuaian dengan cuaca sejuk, kekalkan tahap hidrasi badan dan mematuhi arahan keselamatan daripada pengurusan serta petugas Taman-Taman Sabah.

“Pihak Taman-Taman Sabah akan terus memantau perkembangan cuaca dan suhu di kawasan altitud tinggi bagi memastikan keselamatan pengunjung dan petugas sentiasa terjamin,” menurut kenyataan itu.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita