Skip to main content

Dunia

Gunung Fuji terkesan akibat terlalu ramai pelancong

Anggaran Waktu Membaca:
Gunung Fuji terkesan akibat terlalu ramai pelancong

Kapal persiaran dekat Gunung Fuji, Jepun (Gambar: AFP/Toru Yamanaka)

JEPUN: Gunung Fuji di Jepun bukan lagi tapak wisata seperti dahulu.

Ini disebabkan kedatangan jutaan pelancong, bas, trak bekalan, gerai mi yang terus menjadi tarikan pelancong merata dunia.

Kini, pihak berkuasa Jepun tidak dapat menangani jumlah pendaki yang terlalu ramai tidak kira waktu siang ataupun malam. Malah, kegiatan mendaki gunung berapi Jepun yang popular kini disifatkan sebagai berbahaya dan memalukan dari segi ekologi.

Jumlah pelancong ke Gunung Fuji telah melonjak lebih dua kali ganda antara 2012 hingga 2019 kepada 5.1 juta orang. Angka tersebut hanya merupakan jumlah bagi wilayah Yamanashi, titik permulaan tarikan pelancong di Jepun itu.

SIANG DAN MALAM

Ramai pelancong mendaki gunung setinggi 3,776 meter itu, bukan hanya pada waktu siang.

Pada waktu malam, terdapat barisan panjang mereka yang ingin melihat matahari terbit pula.

Titik permulaan di gunung itu bermula dari sebuah tempat meletak kereta yang hanya boleh diakses menggunakan teksi atau bas. Waktu perjalanan sejauh kira-kira 100 kilometer dari Tokyo akan mengambil masa beberapa jam.

Para pelancong akan disambut dengan pandangan beberapa restoran dan gerai menjual cenderahati, kudapan dan minuman, sebelum mereka memulakan perjalanan ke puncak gunung.

Gerai-gerai tersebut dikuasai mesin diesel bagi penjanaan kuasa dan ribuan liter air yang diperlukan harus diangkut oleh lori. Sisa sampah juga harus diangkut oleh trak.

ANCAMAN KEMALANGAN

Encik Masatake Izumi, seorang pegawai tempatan, berkata bahawa jumlah pelancong yang tinggi akan meningkatkan risiko berlakunya kemalangan.

Segelintir individu yang mendaki pada waktu malam akan mengalami "hipotermia dan harus dibawa ke stesen bantuan kecemasan, katanya kepada AFP.

Sekurang-kurangnya seorang individu maut pada musim mendaki tahun ini.

Dengan yuran tambahan 1,000 yen (S$9), para pelancong boleh mendapatkan buku panduan kecil dalam bahasa Jepun, dengan versi Inggeris disediakan melalui kod QR, menjelaskan perkara yang patut dan tidak patut dibuat.

Meskipun demikian, beberapa individu tidak sedar betapa sukar pendakian tersebut yang mengambil masa lima hingga enam jam ke puncak. Di mana paras oksigen lebih rendah dan cuaca boleh berubah dengan pantas.

"Ia seperti musim dingin di atas, ia sangat sejuk," kata Cik Rasyidah Hanan, 30 tahun, seorang pendaki dari Malaysia, kepada AFP.

KAWALAN ORANG RAMAI

Sedang jumlah pelancong kembali kepada paras prapandemik, ia bukan satu-satunya perkara yang dibimbangkan pihak berkuasa.

Pada minggu ini, menteri kerajaan Jepun berbincang mengenai langkah-langkah untuk mengatasi apa yang disifatkan Encik Kenji Hamamoto, seorang pegawai kanan Agensi Pelancongan Jepun, sebagai "kesesakan dan pelanggaran etika" di kawasan yang dikunjungi ramai pelancong.

Bagi Gunung Fuji, pihak berkuasa mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan langkah-langkah mengawal orang ramai buat pertama kali jika perjalanan ke gunung tersebut terus sesak dengan pelancong.

Pengumuman itu sepatutnya memberi kesan namun akhirnya tidak dikuatkuasakan, kata Encik Izumi.
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita