Skip to main content

Dunia

Gunung Berapi Shishaldin muntahkan abu, debu setinggi 8km ke udara

Sebuah gunung berapi aktif di Kepulauan Aleutian di Alaska yang diselimuti salji di puncaknya sudah mula memuntahkan abu dan debu setinggi 8 kilometer ke udara pada Jumaat (3 Jan), sekali gus mencetuskan amaran kepada para juruterbang.

Anggaran Waktu Membaca:
Gunung Berapi Shishaldin muntahkan abu, debu setinggi 8km ke udara

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 04 Jan 2020 03:40PM Dikemas Kini : 04 Jan 2020 03:44PM

ACHORAGE: Sebuah gunung berapi aktif di Kepulauan Aleutian di Alaska yang diselimuti salji di puncaknya sudah mula memuntahkan abu dan debu setinggi 8 kilometer ke udara pada Jumaat (3 Jan), sekali gus mencetuskan amaran kepada para juruterbang.

Abu dan debu dari Gunung Berapi Shishaldin, yang terletak sekitar 1,080 kilometer di barat daya Anchorage adalah sebahagian daripada siri letusan, yang kebanyakannya pada skala rendah yang bermula sejak Julai lalu dengan memuntahkan lahar dekat kawah gunung berapi setinggi 2,869 meter itu.

Kepulan debu dapat dilihat dengan jelas oleh para juruterbang dan turut kelihatan menerusi rakaman imej satelit yang diambil dari angkasa lepas. Pusat Pencerapan Gunung Berapi Alaska melaporkan, abu dan debu itu berterbangan ke arah laut kira-kira sejauh 120 kilometer dari bahagian tenggara gunung berapi tersebut.

Saintis penyelaras di pusat pencerapan tersebut, Encik David Fee dari Universiti Alaska di Fairbanks berkata, insiden berkenaan bagaimanapun tidak menjejas sebarang masyarakat yang menetap di kawasan sekeliling.

“Ia adalah sebuah gunung berapi yang terpencil,” katanya lagi.

Jabatan Kaji Cuaca Nasional melalui amaran yang dikeluarkan menyatakan, semua penerbangan dinasihatkan supaya mengelakkan Shishaldin walaupun para juruterbang sudah terlebih dahulu mengelakkan kawasan tersebut disebabkan oleh kegiatan-kegiatan yang berlaku sebelum itu.

Walaupun letusan debu semalam dianggap sederhana, namun keadaan di Shishaldin boleh bertukar menjadi buruk dengan sekelip mata saja.

“Shishaldin masih diletakkan pada tahap berjaga-jaga dan letusan seterusnya boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja,” menurut pusat pencerapan tersebut dalam kenyataannya. 

Sumber : Reuters/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita