Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gunung berapi Semeru letus lagi, gerakan menyelamat digantung

Gunung berapi Semeru di Jawa Timur meletus lagi dan memuntahkan lebih banyak abu pada Isnin (6 Dis), memaksa pasukan penyelamat untuk menangguhkan usaha mencari mangsa. Rakaman dari udara menunjukkan kesan kemusnahan berikutan letusan maut pada hujung minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Gunung berapi Semeru letus lagi, gerakan menyelamat digantung

Permandangan sekitar Gunung Semeru di Jawa Timur Indonesia pada 6 DIs 2021. (Gambar: AP/Trisnadi)

Diterbitkan : 06 Dec 2021 08:01PM Dikemas Kini : 06 Dec 2021 08:04PM

LUMAJANG: Gunung berapi Semeru di Jawa Timur meletus lagi dan memuntahkan lebih banyak abu pada Isnin (6 Dis), memaksa pasukan penyelamat untuk menangguhkan usaha mencari mangsa. Rakaman dari udara menunjukkan kesan kemusnahan berikutan letusan maut pada hujung minggu lalu.

Gunung tertinggi di pulau Jawa itu meletus secara mendadak pada Sabtu, memuntahkan abu yang menjulang tinggi ke langit dan menyelaputi kawasan perkampungan menyebabkan ribuan penduduk panik bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan lebih 50 orang cedera, kebanyakannyaakibat melecur.

"Semua pasukan penyelamat diundurkan...buat sementara waktu kerana berlaku letusan kecil baru dan ia boleh membahayakanpasukan," kata pegawai penyelamat Rizal Purnama.

"Usaha mencari akan disambung hari ini sebaik sahaja keadaan lebih selamat."

Gambar dari udara menunjukkan seluruh jalan diselaputi abu kelabu dan lumpur yang menyebabkan banyak rumah dan kenderaan, termasuk trak rosak.

Bumbung-bumbung rumah terpacak berlatarbelangkan kepulan asap tebal manakala pasukan askar dan polis menyertai penduduk menggali lumpur dengan tangan mereka untuk menarik keluar mangsa yang terselamat dan mayat.

Agensi bencana kebangsaan Indonesia melaporkan 27 orang masih belum dapat ditemui.

Awal hari ini, angin kencang serta hujan lebat menyebabkan usaha mencari dan menyelamat terhambat buat sementara.

Tugas mereka menjadi sulit kerana serpihan gunung berapi sudah mula menjadi keras.

"Sangat sukar...gunakan peralatan biasa," kata Rizal Purnama. "Kemungkinan besar mayat yang masih belum ditemui tertimbus di bawah aliran lumpur panas."

Anggota penyelamat lain membantu penduduk kampung yang terdesak untuk menyelamatkan barang-barang mereka dari rumah yang musnah.

Sesetengah penduduk dilihat mengangkat tilam dan perabot mereka sementara yang lain membawa kambing ternakan.

Aliran lahar memusnahkan sebuah jambatan yang menyambung Lumajang dengan bandar Malang berdekatan.

Di kawasan Sumberwuluh, di mana dua trak hampir tertimbus di bawah abu gunung berapi, usaha menyelamat dihentikan secara mendadak akibat tiupan angin yang kencang, menurut seorang saksi kepada Reuters.

Dewa Arya, dari agensi mencari dan menyelamat, berkata pasukannya sedang berusaha menyelamatkan lima anggota sebuah keluarga pada Isnin, namun kerja mereka terhambat oleh cuaca buruk.

Orang ramai memuat naikkan di Facebook gambar saudara mara yang hilang sambil merayu sebarang maklumat tentang keberadaan mereka.

Dapur awam dan kemudahan kesihatan dibangunkan bagi lebih 1,000 orang yang kehilangan tempat tinggal.

Sebuah pasukan trauma sudahpun dikerahkan untuk mendampingi kanak-kanak yang terjejas akibat letusan tersebut, lapor CNN Indonesia, manakala beratus-ratus bungkusan bantuan, termasuk beras, selimut dan pakaian serta keperluan asas lain dihantar ke kawasan berkenaan. 

Pihak berkuasa menasihatkan penduduk tempatan agar tidak memasuki kawasan 5 kilometer dari kawah gunung Semeru kerana udaranya sangat tercemar dan boleh memudaratkan kumpulan-kumpulan lemah.

Sumber : Agensi berita/IH/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan