Skip to main content

Dunia

Guinea pantau 155 kontak setelah sahkan kes jangkitan virus Marburg: WHO

Baru diisytihar bebas Ebola dua bulan lalu, Guinea kini kesan kes virus Marburg - sejenis penyakit berjangkit tanpa vaksin atau ubat, dengan kadar kematian hingga 88 peratus.

Anggaran Waktu Membaca:
Guinea pantau 155 kontak setelah sahkan kes jangkitan virus Marburg: WHO

Gambar: REUTERS

Diterbitkan : 11 Aug 2021 08:17AM Dikemas Kini : 11 Aug 2021 08:20AM

DAKAR: Pihak berkuasa kesihatan di Guinea sedang memantau 155 orang yang merupakan kontak satu kes yang disahkan dijangkiti virus Marburg, iaitu sejenis demam hemoragik yang sangat berjangkit serupa dengan Ebola.

Demikian menurut seorang pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa (10 Ogos).

Kes Marburg itu, yang menurut WHO adalah yang pertama di Afrika Barat, disahkan di Gueckedou di tenggara Guinea. Wilayah itu adalah tempat bermulanya penularan Ebola di Afrika Barat antara 2014 dengan 2016, yang paling banyak membawa maut dalam sejarah. Ia turut menyaksikan kemunculan semula, namun singkat, kes Ebola tahun ini.

Georges Ki-Zerbo, ketua negara bagi WHO di Guinea, berkata Marburg menular dalam kalangan haiwan, terutama sekali kelawar, di Guinea selatan dan negara jiran Sierra Leone dan Liberia.

Patogen-patogen cenderung tular daripada haiwan kepada manusia di rantau itu disebabkan oleh interaksi yang rapat, terutama sekali dalam kegiatan memburu dan memakan "daging haiwan liar".

"Tiada ada kes-kes lain yang diketahui... Kontak-kontak sudah dikesan dan 155 orang sedang dipantau selama tiga minggu," kata Encik Ki-Zerbo dalam satu wawancara.

"Ini adalah pengawasan aktif. Kontak diarah duduk di rumah, diasingkan daripada anggota keluarga yang lain. Mereka dikunjungi setiap hari untuk memeriksa kemungkinan gejala."

Marburg dan Ebola berkait rapat dan penularan dalam kalangan manusia biasanya berlaku melalui sentuhan dengan darah atau cecair tubuh yang lain.

Guinea diisytiharkan bebas Ebola dua bulan lalu, menyusuli penularan yang mengorbankan 12 nyawa.

Kadar kematian Marburg semasa penularan lalu adalah dalam lingkungan 24 hingga 88 peratus daripada mereka yang dijangkiti.

Namun menurut Encik Ki-Zerbo Guinea kini lebih bersedia untuk menangani penularan itu berbanding tempoh apabila Ebola melanda pada 2014. Penemuan kes Marburg juga menunjukkan peningkatan kemampuan untuk mengesan jangkitan tersebut.

Beliau menarik perhatian kepada penggunaan pasukan tindak balas pantas, penyiasat penyakit, pakar epidemiologi dan antropologi sosial serta penyelarasan yang lebih baik dengan negara-negara jiran.

"Secara global, pendekatan untuk memerangi Marburg tidak berbeza dengan Ebola," katanya. "Satu-satunya perbezaan adalah bahawa ia tidak ada vaksin atau ubat khas untuk virus itu. Hanya rawatan sokongan yang sedia ada."

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita