Skip to main content

Dunia

Guan Eng akui perbicaraan rasuah mungkin jejas pencalonannya dalam pilihan raya

Encik Lim, yang merupakan Setiausaha Agung DAP berkata beliau perlu menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang beberapa kali dengan setiap kali untuk tempoh empat hingga lima hari sepanjang Mac dan Mei. 

Anggaran Waktu Membaca:
Guan Eng akui perbicaraan rasuah mungkin jejas pencalonannya dalam pilihan raya

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. (Gambar fail: AFP/Mohd Rasfan)

Diterbitkan : 11 Jan 2018 10:21PM Dikemas Kini : 11 Jan 2018 10:30PM

GEORGE TOWN: “Mungkin.”

Demikian kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, semasa didesak pemberita untuk memberikan jawapan sama ada perbicaraan kes rasuahnya akan menjejaskan pencalonannya pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Encik Lim, yang merupakan Setiausaha Agung DAP berkata beliau perlu menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang beberapa kali dengan setiap kali untuk tempoh empat hingga lima hari sepanjang Mac dan Mei. Mahkamah Tinggi menetapkan 23 hari bagi perbicaraan antara 26 Mac dan 25 Mei.

Pada 30 Jun 2016, Lim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyalahgunakan kuasa sebagai ketua menteri untuk manfaat diri dan isterinya Cik Betty Chew, dengan meluluskan permohonan Emblem Sdn Bhd bagi menukar status tanah pertanian kepada status perumahan dengan menggunakan kedudukannya dalam mesyuarat jawatankuasa perancang negeri dipengerusikannya pada 18 Julai, 2014.

Encik Lim juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan manfaat menerusi pembelian sebuah rumah daripada Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta (S$935,000) iaitu lebih rendah daripada harga pasaran RM4.27 juta (S$1.4 juta) pada 28 Julai, 2015.

Phang, yang merupakan presiden Magnificent Emblem turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Encik Lim dalam pembelian rumah di Jalan Pinhorn itu daripadanya pada harga RM2.8 juta iaitu di bawah harga pasaran atau RM4.27 juta.

Dalam perkembangan lain, Encik Lim, yang bercakap kepada pemberita di sini, berkata kerajaan negeri sudah menjelaskan bayaran bagi kajian kebolehlaksanaan untuk tiga lebuh raya menerusi kaedah tukar tanah bernilai RM208 juta (S$69.5 juta).

Beliau berkata kerajaan tidak membuat sebarang bayaran bagi kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut seperti didakwa Gerakan.

Keutamaan kerajaan negeri adalah tiga lebuh raya itu dan bukannya terowong dasar laut yang dijangka siap hanya pada 2027, kata Encik Lim.

Selasa lepas, parti Gerakan Pulau Pinang mendakwa kerajaan negeri membayar RM208 juta bagi kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut menerusi kaedah tukar tanah. 

Sumber : Bernama/DIWAI/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita