Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

GTA perlu menang PRU15 sebelum fikir soal calon PM, kata Dr Mahathir

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Gerakan Tanah Air (GTA) perlu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terlebih dahulu sebelum menamakan calon perdana menteri.

Pengerusi Penaja GTA, Dr Mahathir Mohamad, berkata perkara itu bukanlah keutamaan buat masa ini.

"Kita tiada calon perdana menteri pun. Apa guna nak ada calon? Kalau kita kalah, apa kita nak buat dengan calon itu? Dia (calon) pun tak jadi perdana menteri. Kita tunggu sampai kita menang."

"Pada masa itu (sekiranya menang), semua pihak yang menang berhak untuk pilih siapa yang akan menjadi perdana menteri," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui selepas berkempen bersama calon GTA bagi Parlimen Ampang, yang juga Ketua Pejuanita Muda Malaysia, Dr Nurul Ashikin Mabahwi, menerusi program Negarawan Bersama Doktor Banjir Gegar Ampang di Pangsapuri Seri Nilam pada Selasa (15 Nov) malam.

Turut hadir ialah isteri Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, dan calon GTA Parlimen Shah Alam Rafique Rashid Ali.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Pejuang, berkata GTA menyasarkan untuk memenangi lebih 112 kawasan agar dapat membentuk kerajaan.

"Ini adalah hasrat kita kerana mengikut undang-undang, untuk membentuk kerajaan, kita mesti dapat lebih daripada 50 peratus kerusi dalam Dewan Rakyat," katanya.

GTA bertanding di 121 kerusi Parlimen pada PRU15 ini.

GTA merupakan pakatan empat parti politik yang terdiri daripada Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) serta gabungan badan bukan kerajaan yang membentuk Gagasan Bangsa (GB).

Pada PRU15, calon GTA bertanding menggunakan logo Pejuang kecuali di Kelantan yang menggunakan logo Putra.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan