Skip to main content

Dunia

GRS yakin tidak terjejas undang-undang antilompat parti, kata Setiausaha Agung

Anggaran Waktu Membaca:
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin empat Ahli Parlimen di bawah gabungan itu, yang bertindak keluar daripada parti Bersatu, tidak akan terjejas dengan undang-undang antilompat parti.

Setiausaha Agungnya, Masidi Manjun, berkata GRS dan empat Ahli Parlimennya sedar sepenuhnya akan undang-undang antilompat parti yang berkuat kuasa sejak 5 Oktober lalu sebelum menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Mereka (Ahli Parlimen berkenaan) akan memaklumkan Speaker Parlimen jika ada keperluan mengenai kedudukan mereka dan akan mengeluarkan kenyataan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin (12 Dis).

Empat Ahli Parlimen berkenaan ialah Matbali Musah (Sipitang), Armizan Mohd Ali, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Papar), Jonathan Yasin (Ranau) dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi).

Kelmarin, Pengerusi GRS Hajiji Noor mengumumkan semua pimpinan Bersatu negeri itu sebulat suara keluar dan meninggalkan parti berkenaan tetapi tetap bersama di bawah GRS.

GRS sebelum ini terdiri daripada parti Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) bergabung dengan Barisan nasional (BN) untuk mentadbir kerajaan negeri itu.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita