Skip to main content

Dunia

Greta Thunberg diusir dari Israel selepas bot bantuan ke Gaza dipintas

Anggaran Waktu Membaca:
Greta Thunberg diusir dari Israel selepas bot bantuan ke Gaza dipintas

Greta Thundberg diusir dari Israel pada 10 Jun, 2025. (Gambar: X/Kementerian Luar Negeri Israel)

Diterbitkan : 10 Jun 2025 06:35PM Dikemas Kini : 10 Jun 2025 06:37PM
TEL AVIV: Daripada 12 orang di atas kapal Madleen yang membawa makanan dan bekalan untuk Gaza, lima aktivis Perancis ditahan selepas mereka enggan meninggalkan Israel secara sukarela.

Pasukan Israel memintas bot tersebut, yang dikendalikan oleh Freedom Flotilla Coalition, di perairan antarabangsa pada Isnin (9 Jun) dan menundanya ke pelabuhan Ashdod. Mereka kemudian dipindahkan ke Lapangan Terbang Ben Gurion berhampiran Tel Aviv, menurut Kementerian luar negeri Israel.

"Greta Thunberg baru sahaja meninggalkan Israel dalam penerbangan ke Sweden (melalui Perancis)," menurut Kementerian luar negeri Israel di akaun X rasmi mereka pada Selasa (10 Jun), bersama gambar aktivis itu di dalam pesawat.

Lima aktivis Perancis yang juga berada di atas Madleen akan menghadap Hakim Israel, menurut Menteri luar negeri Perancis.

"Konsulat kami dapat berjumpa dengan enam warga Perancis yang ditangkap oleh pihak berkuasa Israel semalam," Menurut Menteri Luar Jean-Noel Barrot di X.

"Salah seorang daripada mereka telah bersetuju untuk meninggalkan negara secara sukarela dan dijangka pulang hari ini. Lima yang lain akan melalui prosiding pengusiran paksa."

Pada awal pagi Selasa, Kementerian luar negeri Israel menyatakan bahawa kumpulan aktivis itu tiba di lapangan terbang Ben Gurion untuk "kembali ke negara asal mereka".

"Mereka yang enggan menandatangani dokumen pengusiran dan meninggalkan Israel akan dibawa ke hadapan pihak berkuasa kehakiman," menurutnya dalam catatan di X.

Kapal yang membawa aktivis dari Perancis, Jerman, Brazil, Turki, Sweden, Sepanyol dan Belanda itu mempunyai tujuan yang dinyatakan untuk menghantar bantuan kemanusiaan dan melanggar sekatan Israel ke atas wilayah Palestin.
Sumber : AFP/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita