Greece isytihar darurat susuli kebakaran hutan; 8,000 orang dipindahkan
Pihak berkuasa Greece mengisytiharkan darurat di perbandaran Agios Vasileios, Rethymno, di selatan Pulau Crete serta memindahkan kira-kira 8,000 penduduk dan pelancong sedang kebakaran hutan terus marak di pulau berkenaan pada Khamis (30 Jul), lapor Xinhua.
Api dan asap menjulang berhampiran Pantai Triopetra di Pulau Crete, Greece, pada 30 Julai 2026. (Gambar: REUTERS/Stefanos Rapanis)
- Pihak berkuasa Greece mengisytiharkan darurat di Agios Vasileios, Rethymno, selatan Pulau Crete selepas kebakaran hutan besar berlaku sejak beberapa hari lalu.
- Kira-kira 8,000 penduduk dan pelancong dipindahkan, termasuk operasi menyelamat melalui laut di kawasan Preveli, dengan bantuan Pengawal Pantai dan bot persendirian.
- Lebih 190 anggota bomba, sukarelawan dan pasukan khas dikerahkan, namun angin kencang sehingga 125 kilometer sejam menyukarkan usaha pemadaman dan operasi udara tidak dapat dijalankan.
- Kebakaran menyebabkan kerosakan pada tanah pertanian, kediaman dan ternakan, sementara siasatan punca kebakaran masih diteruskan dan risiko kebakaran kekal tinggi di Crete.
Kebakaran di Rethymno, selatan Crete, menjadi kejadian paling kritikal yang masih aktif di Greece sejak beberapa hari kebelakangan ini, dengan kawasan kebakaran menjangkau lebih 15 kilometer, menurut penyiar Greece, ERT.
Satu lagi kebakaran tercetus berhampiran Kampung Asomatos di Rethymno sebelum merebak ke arah Preveli, kawasan pesisir di selatan Crete yang terkenal dengan pantai dan tarikan pelancong.
Pada masa yang sama, pasukan bomba terus berusaha mengawal kebakaran di Agios Vasileios.
Angin kencang dengan kelajuan sehingga 125 kilometer sejam serta jarak penglihatan hampir sifar menjejaskan operasi pemadaman dengan ketara.
Pesawat dan helikopter juga tidak dapat menjalankan operasi pemadaman dari udara disebabkan oleh keadaan cuaca ekstrem.
Pihak berkuasa Greece berulang kali mengeluarkan amaran kecemasan supaya penduduk dan pengunjung di kawasan terjejas berpindah.
Kira-kira 700 mangsa ditempatkan semalaman di sebuah dewan sukan tertutup, dengan ramai lagi berlindung di rumah saudara-mara atau rakan. Pelancong pula dipindahkan ke hotel di kawasan yang tidak terjejas.
Dalam operasi pemindahan melalui laut, seramai 51 orang diselamatkan dari kawasan pesisir Preveli dalam keadaan cuaca buruk.
Mereka dibawa ke Agia Galini, sebuah bandar di selatan Crete, menggunakan kapal peronda Pengawal Pantai Greece dengan bantuan dua bot persendirian.
Lebih 190 anggota bomba, dibantu jentera bomba, pasukan khusus pemadaman kebakaran hutan, pihak berkuasa tempatan dan sukarelawan, dikerahkan ke beberapa lokasi kebakaran.
Bagaimanapun, angin kencang terus menyukarkan usaha mengawal kebakaran.
Kebakaran yang berlaku turut merosakkan tanah pertanian, kawasan tanaman, padang ragut, kediaman dan ternakan.
Siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran masih dijalankan.
Crete kekal berada pada tahap risiko kebakaran hutan yang sangat tinggi, dengan angin kencang dijangka berterusan di kawasan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.