Skip to main content

Dunia

Google lancar versi beta ciri terjemahan masa nyata menerusi fonkepala

Anggaran Waktu Membaca:
Google lancar versi beta ciri terjemahan masa nyata menerusi fonkepala
Logo Google yang dicetak secara 3D diletakkan di atas sebuah Apple MacBook dalam ilustrasi yang diambil pada 12 April 2020. (Gambar: Reuters/Dado Ruvic)
Diterbitkan : 13 Dec 2025 05:03PM Dikemas Kini : 13 Dec 2025 09:02PM
SAN FRANCISCO: Google pada Jumaat (12 Dis) mengumumkan pelancaran ciri beta yang membolehkan pengguna mendengar terjemahan masa nyata menerusi fonkepala, ketika syarikat itu meningkatkan usaha memperkukuh perkhidmatan terjemahan dan pembelajaran bahasa, lapor Xinhua.

Ciri baharu itu, yang boleh diakses melalui aplikasi Google Translate, menyediakan terjemahan langsung sambil mengekalkan nada, penekanan dan irama pertuturan penutur, sekali gus menjadikan perbualan lebih mudah difahami.

“Sama ada anda cuba berbual dalam bahasa berbeza, mendengar ucapan atau kuliah ketika berada di luar negara, atau menonton rancangan televisyen atau filem dalam bahasa lain, anda kini boleh memakai fonkepala, membuka aplikasi Translate, menekan ‘Live translate’ dan mendengar terjemahan masa nyata dalam bahasa pilihan anda,” kata Naib Presiden Produk dan Carian Google, Rose Yao dalam satu catatan blog.

Ciri beta itu kini mula dilancarkan pada peranti Android di Amerika Syarikat, Mexico dan India. 

Ia menyokong lebih 70 bahasa dan serasi dengan semua jenis fonkepala. 

Google berkata ia merancang untuk memperluas ciri berkenaan ke peranti iOS serta lebih banyak negara pada 2026.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita