Skip to main content

Dunia

Google hadkan penggunaan model AI Gemini oleh Meta, lapor FT

Google mengehadkan penggunaan model kecerdasan buatan (AI) Gemini oleh Meta selepas syarikat media sosial itu meminta kapasiti pengkomputeran yang lebih besar daripada apa yang mampu disediakan oleh kumpulan teknologi pesaing itu, lapor Financial Times pada Ahad (28 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Google hadkan penggunaan model AI Gemini oleh Meta, lapor FT

Logo Google dipaparkan pada pintu masuk pejabat Google di London, Britain, dalam gambar fail bertarikh 18 Januari 2019. (Gambar fail: REUTERS/Hannah McKay)

Diterbitkan : 28 Jun 2026 04:41PM
CALIFORNIA: Google mengehadkan penggunaan model kecerdasan buatan (AI) Gemini oleh Meta selepas syarikat media sosial itu meminta kapasiti pengkomputeran yang lebih besar daripada apa yang mampu disediakan oleh kumpulan teknologi pesaing itu, lapor Financial Times pada Ahad (28 Jun).

Google, yang dimiliki Alphabet, memaklumkan kepada Meta sekitar Mac bahawa ia tidak dapat memenuhi sepenuhnya kapasiti Gemini yang ingin dibeli syarikat itu, menurut akhbar tersebut. Kekurangan itu dilaporkan menjejas dan melambatkan beberapa projek AI dalaman Meta.

Beberapa pelanggan Google yang lain turut terjejas, meskipun pada tahap yang lebih kecil, menurut laporan tersebut. Meta dilaporkan paling terkesan disebabkan oleh permintaannya yang sangat tinggi terhadap model-model Google, menurut FT.

Reuters tidak dapat dengan segera mengesahkan laporan yang memetik sumber yang mengetahui tentang perkara tersebut. Google dan Meta tidak segera memberi maklum balas kepada permintaan untuk mendapatkan komen di luar waktu pejabat.

Disebabkan oleh sekatan itu, Meta menggalakkan kakitangannya supaya menggunakan token AI dengan lebih cekap. Token AI merujuk kepada unit yang digunakan untuk mengukur penggunaan AI, menurut laporan FT.

Meskipun syarikat-syarikat terus membelanjakan berbilion dolar untuk cip dan pusat data, mereka masih berdepan kesukaran untuk mendapatkan kuasa pengkomputeran yang mencukupi bagi menyokong permintaan yang semakin meningkat terhadap khidmat AI.

Pendapatan Google Cloud meningkat kepada AS$20 bilion (S$25.88 bilion) pada suku pertama yang berakhir pada Mac. Namun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sundar Pichai berkata kekangan kuasa pengkomputeran menghalang pertumbuhan yang lebih tinggi dan menyumbang kepada tunggakan unit cloud yang hampir berganda berbanding suku sebelumnya.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita