Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Golongan mewah Hong Kong sanggup tempah jet demi selamatkan haiwan peliharaan

Anggaran Waktu Membaca:
Golongan mewah Hong Kong sanggup tempah jet demi selamatkan haiwan peliharaan

(Gambar: Unsplash/Nirzar Pangarkar)

HONG KONG: Golongan berkemampuan di Hong Kong yang memiliki haiwan peliharaan terpaksa menggunakan langkah terakhir untuk menyelamatkan haiwan peliharaan kesayangan mereka dari dilupuskan di bawah peraturan ketat bagi mencegah COVID-19 di China.

Oleh kerana penerbangan komersial tidak lagi secara sembarangan menerima masuk penumpang bersama haiwan untuk dibawa ke luar negara, golongan mewah Hong Kong kini menempah jet persendirian, seperti dinukil Astro AWANI.

China kekal sebagai salah satu negara di dunia yang melaksanakan dasar sifar COVID-19, sekali gus menjadikan Hong Kong, yang suatu ketika dahulu adalah sebuah hab penerbangan, kini sebuah bandar raya yang terkekang pergerakan akibat pelan perjalanan antarabangsa yang dibatalkan.

Kemunculan varian Omicron sejak beberapa minggu kebelakangan ini menyaksikan pihak berkuasa menghalang kemasukan pesawat, termasuk tidak menerima kedatangan penumpang transit dari pelbagai negara.

Bagi seorang warga Hong Kong yang mahu berpindah ke Britain, Encik Lee, ini bermakna, tidak ada jalan baginya untuk membawa kucing kesayangannya, Teddy dan Newman, dan dia terpaksa menggunakan penerbangan komersial, lapor Astro AWANI.

“Ini situasi yang tidak terduga. Jika perjalanan ini hanya melibatkan saya dan isteri, tentu sekali kami tidak perlu menaiki jet persendirian. Semua ini kerana kucing-kucing kami,” ujar Encik Lee.

Satu pilihan yang hanya mampu ditanggung golongan sangat kaya, pesawat persendirian kini menjadi mod pengangkutan bagi pemilik haiwan peliharaan yang terdesak untuk meninggalkan Hong Kong.

Berikutan jadual penerbangan komersial yang dibatalkan, sehingga kini, terdapat antara 3,000 hingga 4,000 anjing dan kucing yang terkandas dalam usaha membawa haiwan-haiwan itu ke luar negara, seperti dinukil Astro AWANI.

"Tiada sejumlah wang yang mampu membeli tempat duduk untuk haiwan-haiwan ini dalam penerbangan komersial," keluh konsultan, Fanny Liang, dari syarikat Pet Holidays yang sebelum ini menguruskan perjalanan percutian pemilik haiwan dan haiwan mereka.

Awal bulan ini, pemerintah Hong Kong mengarahkan pelupusan besar-besaran hamster dan mamalia kecil lain dari kedai haiwan peliharaan serta pemilikan peribadi menyusuli laporan kes positif COVID-19.

Menurut kaji selidik Dewan Perdagangan Amerika, lebih 40 peratus pemastautin warga asing berkata, mereka sedia meninggalkan Hong Kong berikutan kekangan perjalanan dan COVID-19, lapor Astro AWANI.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan