Golongan fakir di India terus hidup kebuluran dek tamparan hebat COVID-19
Rasheeda Jaleel hidup dibelenggu kebimbangan beliau mungkin tidak dapat memberi makan kepada tujuh anaknya. Beliau antara berjuta-juta keluarga India yang terjerumus ke dalam kancah kemiskinan akibat gelombang baru koronavirus yang dahsyat.
Koronavirus yang buruk mengheret jutaan keluarga India ke dalam kancah kemiskinan dan kebuluran. (Gambar: Prakash SINGH/AFP)
NEW DELHI: Rasheeda Jaleel hidup dibelenggu kebimbangan beliau mungkin tidak dapat memberi makan kepada tujuh anaknya. Beliau antara berjuta-juta keluarga India yang terjerumus ke dalam kancah kemiskinan akibat gelombang baru koronavirus yang dahsyat.
Wanita berusia 40 tahun itu bersama-sama suaminya, Abdul Jaleel, 65 tahun, dan anak-anak mereka bertahan dengan hanya satu hidangan sehari.
"Apabila kami lapar dan haus, saya berasa amat tidak berdaya dan risau, 'Berapa lama lagi saya harus hidup begini?" kata Cik Rasheeda kepada AFP ketika beliau membuat roti di flat kecil mereka di New Delhi.
"Kami makan seadanya dengan apa yang diperolehi suami saya. Jika tidak cukup, saya berlapar supaya boleh memberi makan kepada anak-anak saya."
Pandemik koronavirus sudah meragut 160,000 jiwa dalam masa lapan minggu, mengakibatkan keadaan sesak di hospital dan banyak perniagaan gulung tikar di India. Para pakar memberi amaran satu lagi krisis mengundang kerisauan dengan tahap kelaparan kian meningkat dalam kalangan golongan fakir India ekoran perintah berkurung pertama tahun lalu.
"Ia krisis berganda yang dihadapi oleh golongan miskin di negara ini - ada krisis kesihatan dan ada juga krisis pendapatan ekonomi," kata Anjali Bhardwaj dari kempen 'Right To Food'.
"Kami mengalami krisis kesihatan yang besar... dan ramai yang harus menghabiskan wang simpanan mereka untuk menyediakan bantuan perubatan kepada keluarga mereka."
Sekitar 230 juta warga India jatuh miskin - ditakrif sebagai hidup dengan kurang 375 rupee (S$7) sehari - dalam tahun pertama pandemik, menurut satu kajian oleh Universiti Azim Premji di Bangalore.
"KAMI TIADA PILIHAN"
Lebih 7.3 juta orang kehilangan pekerjaan dalam bulan April sahaja, menurut Pusat bagi Memantau Ekonomi India. Ini bermakna 90 peratus tenaga kerjanya kini tiada jaringan keselamatan sosial dengan jutaan lagi tidak layak bagi catuan darurat pemerintah.
"Ramai orang jatuh miskin tahun lalu, mereka dibelit hutang dan... terpaksa kurang makan," kata Profesor Madya Amit Basole, salah seorang penulis bagi kajian universiti itu.
"Jadi gelombang kedua akan datang di samping keadaan amat tertekan dan tidak menentu."
Demi mencari nafkah buat keluarganya, Encik Abdul Jaleel mengayuh beca setelah tidak lagi dapat kerja di tapak binaan semasa perintah berkurung terbaru di Delhi.
Jika sebelum ini beliau membawa pulang 500 rupee (S$9) sehari, pendapatannya kini serendah 100 rupee (S$2) sehari.
"Pada sesetengah hari, saya tidak membawa pulang apa-apa pun," ujarnya.
"Sebagai ibu bapa, kami harus menyara hidup dengan apa jua cara, sama ada mengemis, meminjam atau mencuri. Kami tidak ada pilihan," luah beliau.
"TIDAK BERDAYA DAN KEBULUR"
Semasa perintah berkurung tahun lalu, kira-kira 100 juta orang kehilangan pekerjaan mereka di India, Setelah sekatan dilonggarkan, sekitar 15 peratus penduduk gagal mendapat pekerjaan baru menjelang hujung 2020 - termasuk 47 peratus pekerja wanita, berdasarkan dapatan Universiti Azim Premji itu.
Ramai yang kembali bekerja terpaksa terima pendapatan lebih rendah lantas menyebabkan mereka lebih mudah terjejas apabila gelombang kedua koronavirus melanda.
Sementara itu, 100 juta lagi warga India termasuk keluarga Encik Abdul Jaleel tidak mempunyai kad catuan untuk memberi mereka akses kepada bantuan makanan pemerintah, kata Cik Bhardwaj.
Pertubuhan 'Right to Food' sudah lama berkempen agar bekalan makanan darurat diagihkan kepada golongan memerlukan sekalipun jika mereka tidak mempunyai kad catuan.
Para pakar memberi amaran ramai yang mungkin terus terperangkap dalam lingkaran kesukaran yang hebat meskipun selepas perintah berkurung ditarik balik.
Bhupinder Singh, seorang pemodal mikro yang mengagihkan makanan kepada golongan memerlukan semasa dua perintah berkurung, menyaksikan ratusan penganggur yang hidup dalam serba terdesak sehingga ada yang tidur di tepi lebuhraya Delhi yang sibuk.
Apabila Encik Singh datang membawa paket-paket makanan, beliau dapat mendengar teriakan kegembiraan dengan orang ramai bergegas ke belakang keretanya untuk membuat barisan beratur yang panjang.
"Jika mereka datang dengan membawa makanan, kami dapat makan... Jika mereka tidak datang, kami akan terus kebuluran."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.