Golongan enggan divaksin sulitkan lagi usaha pelaksanaan suntikan dos penggalak Indonesia
JAWA BARAT: Warga tua Indonesia merupakan golongan yang diutamakan dalam program dos ketiga vaksin COVID-19 yang bermula bulan ini.
Pemerintah Indonesia memberikan dos vaksin penggalak itu secara percuma, termasuk kepada lebih 21 juta warga emasnya.
Namun BERITAmediacorp mendapati mereka yang enggan divaksin masih menjadi cabaran dalam usaha melindungi kumpulan mudah terjejas dan menangani pandemik sekarang.
Bagi seorang warga tua bernama Hidayat Usman, yang ditemui BERITAmediacorp, beliau berasa lega kerana akhirnya menerima dos vaksin penggalak COVID-19.
Hidayat yang berusia 67 tahun sudah menerima dua suntikan vaksin Sinovac, awal tahun ini.
Dos penggalak diberikan kepada mereka yang sudah lengkap dua suntikan vaksin, sekurang-kurangnya enam bulan sebelumnya.
"Kalau kita sudah divaksin, pertama, kedua dan ketiga, itu sangat membantu kita. Vaksin sangat penting bagi kami untuk menjaga kesihatan. Jangan kita sampai dijangkiti (COVID-19). Kita juga menjaga diri, juga menjaga keluarga dan orang disekeliling saya," kongsi Encik Hidayat kepada BERITAmediacorp.
Indonesia sedang berusaha mengekang lonjakan kes-kes COVID-19 dengan mempercepatkan pemberian vaksin.
Vaksinasi bagi golongan warga tua perlu dipercepatkan sedang angka kematian di hospital melibatkan kumpulan tersebut, terutama mereka yang berpenyakit.
Program vaksinasi di unit kejiranan kampung Sukamantri yang dikunjungi BERITAmediacorp sudah berjalan dengan baik. Terdapat 1,300 penduduk di kampung itu dan sekitar 80 peratus daripada mereka sudah mendapat dua dos vaksin Sinovac.
ADRA adalah agensi bantuan antarabangsa yang bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan dalam pelaksanaan vaksinasi Covid-19.
Agensi tersebut ada program 'Warga Tua Dulu' bagi mendidik dan menggalakkan warga tua berusia 60 tahun ke atas agar mendapatkan vaksin.
Para sukarelawan dari agensi tersebut berharap akan dapat memberikan golongan tersebut keyakinan untuk membantu mereka mengurangkan rasa takut terhadap vaksinasi COVID-19.
Satu kajian baru-baru ini yang dijalankan Adra menunjukkan lebih 40 peratus warga emas teragak-agak untuk divaksin.
"Halangan-halangannya termasuk faktor dalaman dan luaran. Faktor dalaman adalah mereka rasa takut atas kesan sampingan, mereka juga mempunyai komorbiditi, kemudian juga mungkin rasa takut, khuatir, takut mati apabila sudah mendapatkan vaksin.
"Tapi ada faktor luaran juga sebenarnya terutama berita-berita yang mengelirukan, kepalsuan seperti itu. Itu juga yang diasakan oleh warga emas," kata Pengurus, Program 'Warga Tua Dulu', ADRA Indonesia Agustina Bunganna Pamuso.
Yuyun adalah salah seorang warga emas Indonesia yang masih enggan berganjak. Beliau yang berusia 72 tahun, bimbang akan kesan sampingan vaksin terhadap kesihatannya.
"Saya mempunyai penyakit darah tinggi dan gastrik. Sekarang saya makan ubat gastrik setiap pagi. Jadi, saya tidak divaksin, usia saya sudah tua, tidak apa-apa. Kaki sudah sakit kalau jalan jauh. Jadi, saya tidak ke mana-mana, di rumah saja. Jadi, tidak perlu divaksin tidak apa-apa," kata Encik Yuyun.
Indonesia berdepan lonjakan baru kes COVID-19 dengan penularan varian Omicron yang lebih mudah berjangkit.
Namun warga emas seperti Encik Hidayat yang sudah menerima tiga dos vaksin, boleh meneruskan kegiatan harian di luar, dengan kurang rasa bimbang.
Tetapi dengan COVID-19 dijangka menjadi isu utama kesihatan, kebimbangan masih meluas bagi golongan tua yang belum divaksin kerana tiada sesiapa yang selamat sehingga semua orang selamat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.