Skip to main content

Dunia

Gibran disoal Bawaslu, didakwa langgar undang-undang aktiviti politik

Anggaran Waktu Membaca:
Gibran disoal Bawaslu, didakwa langgar undang-undang aktiviti politik

Calon naib Presiden Gibran Rakabuming Raka berucap semasa perbahasan menjelang pilihan raya di Pusat Konvensyen Jakarta pada 22 Dis 2023. (Gambar: AFP/Yasuyoshi Chiba)

JAKARTA: Calon naib presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka tiba di Pejabat Badan Pengawas Pemilihan Umum Indonesia (Bawaslu), Jakarta Pusat, untuk memenuhi permohonan bagi menjelaskan penglibatannya di Hari Bebas Kenderaan Bermotor (CFD) pada 3 Desember 2023.

Encik Gibran tiba di Pejabat Bawaslu Jakarta Pusat (Jakpus) pada Rabu (3 Jan) tanpa memberi sebarang keterangan kepada wartawan.

Sebelum ketibaan Encik Gibran, beberapa anggota daripada Pasukan Kempen (TKN) Prabowo-Gibran sudah berada di Pejabat Bawaslu Jakpus.

Di antaranya adalah Komander dan Timbalan Komander Pasukan Undang-undang dan Advokasi TKN, Hinca Pandjaitan dan Habiburokhman.

Encik Habiburokhman berkata, kedatangan Encik Gibran di Pejabat Bawaslu itu adalah sebagai tanda ketaatan anak lelaki Presiden Indonesia Joko Widodo kepada undang-undang.

"Sebagai warga negara yang taat kepada undang-undang, Encik Gibran berkeras untuk hadir pada hari ini. Ya, kami sebagai satu pasukan, mendampingi dan datang lebih awal untuk berkomunikasi lebih dahulu (dengan Bawaslu Jakpus)," katanya.

Bawaslu memanggil Encik Gibran untuk memberikan penjelasan berhubung kegiatannya mengedar susu di kawasan CFD, sepanjang Jalan Thamrin hingga ke bulatan Hotel Indonesia (HI).

Sebelum itu, pada Jumaat (29 Dis),
Penyelaras Pengendalian Pelanggaran Data dan Maklumat Bawaslu Jakpus, Dimas Trianto Putro berkata, isu yang dikaji pihaknya bukan terkait dengan dakwaan jenayah terhadap pilihan raya. Sebaliknya, ia berkaitan dakwaan pelanggaran lain seperti menggunakan CFD untuk aktiviti politik.

Di bawah Bab 7 ayat (2), Peraturan Gubernor Daerah Khusus Ibu kota (DKI) Jakarta Nombor 12 Tahun 2016, mengenai Hari Bebas Kenderaan Bermotor (HBKB), menyatakan bahwa HBKB atau CFD tidak boleh digunakan untuk kepentingan pasti politik dan suku, agama, bangsa, dan kumpulan (SARA) serta ucapan yang bersifat menghasut.

Encik Dimas berkata, dakwaan jenayah berkaitan pilihan raya itu sudah disiasat oleh Bawaslu RI bersama Pejabat Pendakwaraya dan Polis yang menganggotai Pusat Penguatkuasaan Undang-undang Bersepadu (Sentra Gakkumdu).

Sentra Gakkumdu menyatakan kegiatan Encik Gibran tidak dianggap sebagai jenayah, sehingga isu tersebut tidak ditetapkan sebagai pelanggaran undang-undang berkaitan dengan pilihan raya.

Bawaslu Jakarta Pusat dengan segera menjalankan siasatan lanjut berhubung potensi pelanggaran undang-undang dan peraturan lain.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita