Gerombolan gajah yang kembara ratusan kilometer kini berpatah balik
Segerombolan gajah yang menarik perhatian antarabangsa ketika mengembara di barat daya China kini akhirnya mula berpatah balik.
(Gambar: AP)
YUANJIANG: Segerombolan gajah yang menarik perhatian antarabangsa ketika mengembara di barat daya China kini akhirnya mula berpatah balik.
Gerombolan 14 gajah liar Asia itu menyeberang Sungai Yuanjiang di wilayah Yunnan, Bandar Yuxi, Yuanjiang pada Ahad malam (8 Ogos), iaitu satu kemajuan yang disifatkan pemerintah kawasan sebagai ketara.
Setakat Ahad, gerombolan gajah itu masih berada di Yuanjiang, sekitar 200 kilometer dari habitat asal mereka di Xishuangbanna, barat daya Yunnan.
Walaupun gajah-gajah itu masih jauh dari tempat asalnya, Pentadbiran Perhutanan dan Rumput Nasional menyatakan dalam satu kenyataan online bahawa haiwan tersebut sudah berada di habitat yang sesuai.
Gajah-gajah itu menarik perhatian seluruh negara setelah haiwan tersebut meninggalkan kawasan simpanan di wilayah Yunnan tahun lalu dan bergerak lebih 500 kilometer ke utara. Haiwan-haiwan itu sampai di pinggiran Kunming, sebuah bandar utama, pada awal Jun, sebelum membelok lagi ke selatan.
Pihak berkuasa tempatan mengerahkan kakitangan dan dron untuk mengawasi gajah-gajah tersebut, mengosongkan jalan-jalan raya agar haiwan-haiwan itu dapat melintas dengan selamat serta menggunakan makanan untuk mengalihkan perhatian daripada daerah berpenduduk.
Pemerintah wilayah Yunnan menyatakan ia akan terus membantu gerombolan gajah itu pulang ke habitat asalnya tidak lama lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.