Gereja Katolik Sri Lanka maafkan pengebom nekad serangan Easter 2019
Gereja Roman Katolik Sri Lanka pada Ahad (12 Apr) menyatakan pihaknya sudah memaafkan para pengebom nekad yang mendalangi serangan Hari Easter tahun lalu yang meragut sekurang-kurangnya 279 nyawa.
(Gambar: AFP/LAKRUWAN WANNIARACHCHI)
COLOMBO: Gereja Roman Katolik Sri Lanka pada Ahad (12 Apr) menyatakan pihaknya sudah memaafkan para pengebom nekad yang mendalangi serangan Hari Easter tahun lalu yang meragut sekurang-kurangnya 279 nyawa.
Kardinal Malcolm Ranjith memberitahu pengikutnya menerusi satu perutusan Hari Easter - yang disiarkan menerusi studio TV ekoran pandemik virus korona - bahawa "kita menawarkan kasih sayang kepada musuh yang cuba menghancurkan kita".
"Kita maafkan mereka," kata beliau, sambil menambah bahawa masyarakat Katolik minoriti itu memilih untuk tidak bertindak balas namun sebaliknya merenungi pengajaran Nabi Isa mengenai harapan dan mengurangkan ketegangan.
Pengebom serangan 21 April pada Ahad Easter tahun lalu menyasarkan tiga gereja dan tiga hotel mewah, membunuh sekurang-kurangnya 279 orang dan mencederakan lagi 593 yang lain.
Tahun lalu Kardinal Ranjith menggesa pemerintah ketika itu agar meletakkan jawatan atas tuduhan kegagalan menyiasat "konspirasi antarabangsa" di sebalik serangan itu.
Pemerintah tersebut yang dipimpin presiden Maithripala Sirisena kalah semasa pilihan raya November dan di ambil alih Gotabaya Rajapaksa, adik kepada mantan presiden Mahinda.
PARA PEGAWAI DIDAKWA BUNUH
Encik Sirisena pada awalnya menyalahkan pelampau Islam atas pengeboman itu namun kemudian menuduh pengedar dadah antarabangsa sebagai dalang serangan - disyaki sebagai percubaan menggugat usaha antidadahnya.
Ketua polis dan setiausaha pertahanan Sri Lanka ketika itu dikenakan tuduhan membunuh kerana dituduh tidak menyiasat maklumat risikan berhubung serangan itu.
Polis memberkas 135 orang berhubung pengeboman itu yang dikaitkan dengan kumpulan pemikiran lampau National Thowheeth Jama'ath. Mereka belum lagi didakwa.
Sambutan Hari Easter tahun ini kurang meriah setelah perintah berkurung di seluruh negara dikenakan dalam usaha membendung penularan COVID-19.
199 orang dijangkiti dan tujuh terkorban akibat virus itu di Sri Lanka setakat ini, menurut pihak pemerintah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.